expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 16 July 2012

Bukan sekadar penawar duka




Benarkah ketawa boleh menjadi ubat pelbagai penyakit? Jika anda pernah menonton filem komedi Patch Adam lakonan Robin Williams, anda mungkin bersetuju. 


Walaupun menerima banyak kritikan, filem box-office ini berjaya membawa penonton memahami konsep jenaka yang dikatakan mempunyai kuasa penyembuhan luar biasa dalam merawat sakit.


Hari ini pelbagai kajian mula membuktikan kebaikan ketawa dari sudut kesihatan. Ketawa bukan sekadar penawar duka bahkan merangsang ketenangan jiwa dan melegakan ketegangan otot, sekurang-kurangnya untuk tempoh 45 minit.


Mereka yang mengalami kemurungan biasanya susah untuk ketawa, malahan terlupa bilakah kali terakhir melakukannya.


Sebenarnya, otot-otot tubuh badan bekerja seperti sedang bersenam apabila seseorang itu ketawa bersungguh-sungguh. 80 jenis otot tubuh akan mengecut dan berehat secara berirama. Kebanyakannya adalah otot-otot di bahagian perut, belakang badan dan muka.




 
Ketawa sebanyak 100 kali sehari dikatakan mempunyai kesan kesihatan sama seperti berlari sejauh 10 kilometer. 


Pakar menyatakan ketawa (belly laughter) boleh membantu menguruskan badan melalui aktiviti otot di bahagian perut. Aktiviti otot di bahagian belakang badan dan muka pula boleh menghilangkan sakit sengal badan dan meremajakan wajah.


Tekanan darah, pernafasan dan kadar denyutan jantung akan meningkat sedikit semasa ketawa dan melancarkan perjalanan darah. Selepas ketawa berhenti, tekanan darah akan kembali normal. Proses ini boleh membantu menurunkan tekanan darah bagi penderita darah tinggi.


Ketawa yang berkualiti adalah spontan dan kadangkala sehingga boleh mengeluarkan air mata. Ia lebih mudah jika bersama rakan. Ketawa bersama bukan bermaksud mentertawakan orang lain. Ia akan membuatkan anda merasai diri tidak keseorangan.


Anda menghela udara dalam kuantiti yang lebih banyak daripada biasa ketika ketawa. Ini akan meningkatkan paras oksigen dalam darah seterusnya mengairi sel dan saraf otak. Tindak balas fisiologi ini akan membantu menyegarkan minda dan meningkatkan daya tumpuan.




Kekurangan oksigen pula boleh mengakibatkan mengantuk. Sebab itu pemandu kedua perlu untuk perjalanan jauh waktu malam. Selain boleh bergilir-gilir berehat, dia boleh dibawa berbual. Cubalah berbual tentang perkara yang lucu. Elakkan cerita seram kerana ia boleh menyebabkan ilusi yang mengganggu penglihatan malam.


KetawaHormon gembira endorfin juga dikeluarkan ketika ketawa. Endorfin meningkatkan imuniti dan daya tahan terhadap deria sakit. Justeru, apabila melawat orang sakit, rangsanglah mereka ketawa dengan berbual sesuatu yang lucu.


Penyelidik dari Universiti Maryland melaporkan seseorang yang hidupnya dipenuhi kelucuan lebih susah mendapat serangan jantung. Jadi setiap orang disaran bersenam 30 minit tiga kali seminggu dan ketawa 15 minit sehari bagi mengelakkan risiko itu. 


Kajian juga menunjukkan seseorang yang suka berjenaka lebih sihat dan berpeluang hidup lebih lama.




Selain itu, ketawa boleh memperbaiki hubungan sosial bermasyarakat. Individu yang mudah membuat orang ketawa biasanya lebih disenangi. 


Wujudkan suasana yang boleh membuatkan anda seisi keluarga ketawa. Salah satu caranya adalah kaedah guided laughing


Mulakan di rumah dengan berkongsi cerita lawak atau menonton komedi. Ia pasti berhasil kerana ketawa boleh berjangkit.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com