expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 16 July 2012

Dulang pahala, borong amal Ramadan





Ramadan memiliki keutamaan yang banyak untuk diraih umat Islam. Ia adalah bulan diturunkan al-Quran. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Ramadan adalah bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara al-haq dan batil).” (Surah Al-Baqarah : 185)


Petunjuk Nabi SAW itu melihatkan Baginda SAW memanfaatkan Ramadan Al-Mubarak dengan banyak membaca al-Quran. Nabi SAW membaca dan mengkhatamkan al-Quran pada setiap tahun dalam Ramadan Al- Mubarak bersama dengan Jibrail AS.


Maka dengan itu di antara amalan yang paling baik di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak selain daripada berpuasa adalah membaca al-Quran.




 
Dalam Ramadan terdapat malam yang lebih baik daripada seribu malam, Lailatulqadar. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Al-Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam Al-Qadr itu? Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.


Pada malam itu turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr : 1-5)


Manusia hari ini sibuk memperbanyakkan duit. Mereka bertanya berapa dividen atau gandaan wang yang akan diperoleh hasil pelaburan tersebut. Ini kerana ingin menggandakan harta dan wang ringgit masing-masing.


Barangan kosmetik digunakan untuk menggandakan kecantikan. Ini adalah fitrah manusia yang boleh dilihat dalam realiti kehidupan.


Manusia sukar berasa cukup dan sentiasa berusaha untuk mendapat lebih. Tetapi bagaimanakah usaha dalam menggandakan amalan kebaikan untuk mendapatkan keredaan dan syurga di sisi ALLAH SWT?


Hal ini perlu dijadikan muhasabah. Apatah lagi ketika Ramadan yang penuh keberkatan, ALLAH menyediakan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan untuk manusia yang beramal pada malam itu.




 
Maka sewajarnya kita perlu berusaha sepanjang Ramadan untuk mendapatkan malam tersebut. Kebiasaannya masuk minggu kedua, kita disibukkan dengan memenuhi jemputan majlis berbuka puasa di hotel yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa yang lazat.


Manusia juga dighairahkan untuk bersolat Tarawih di belakang imam import. Ada juga yang sanggup pergi mencari imam di masjid yang jauh untuk solat Tarawih di belakang imam pilihan semata-mata sehingga meninggalkan kewajipan solat Maghrib dan Isyak berjemaah.


Masuk minggu terakhir mereka mula disibukkan dengan persiapan raya dan rancangan menarik di televisyen sehingga melupakan kelebihan yang ALLAH tawarkan kepada hamba-Nya yang menghidupkan Ramadan.


Manusia kadang-kadang tidak memahami keutamaan. Apa yang penting yang ingin saya sampaikan adalah berkaitan kelebihan bulan Ramadhan yang tidak wajar disia-siakan kerana Allah menyediakan di dalam bulan ini perkara-perkara yang sangat baik dan tidak akan bisa diperoleh pada bulan-bulan lain khususnya Lailatulqadar.




 
Sabda Nabi SAW, maksudnya: “Apabila datang Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, dan syaitan dibelenggu.” (Riwayat Imam Al Bukhari)


Jadi pada bulan ini syaitan diikat. Jika ditanya, mengapa masih ada manusia berbuat perkara jahat, mengapa masih ada orang yang tidak berpuasa, kata Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimi, syaitan di dalam tubuh badan manusia. Maksudnya si pelaku dosa itu sendiri adalah “syaitan” yang tidak mampu mengawal hawa nafsunya dan menyebabkan dia melaksanakan amalan yang bercanggah dengan syariat iaitu maksiat.


Ini adalah antara kelebihan Ramadan dan sebagai janji ALLAH SWT di mana ALLAH SWT tidak akan menzalimi seorang pun daripada kalangan hamba-Nya seperti firman-Nya yang bermaksudnya: “Dan Tuhan mu tidak menzalimi seorang pun.” (Surah Al-Kahfi : 49) Maka tawaran yang penuh dengan kepastian ini hendaklah kita berusaha untuk mendapatkannya.


Pada hari ini jika pergi ke restoran makanan segera, Kita melihat menu sahaja diberi gambaran sedap dan menyelerakan. Ini tawaran manusia kepada kita di atas muka bumi yang apabila sampai makanan itu kepada kita, kadangkala rasanya tidak seperti yang digambarkan. Ini kerana tawaran manusia bersifat tidak pasti.


Kadangkala juga kita melihat seseorang itu wajahnya cantik dan elok, tetapi sikap dan akhlaknya bukan seperti manusia yang normal. Akan tetapi tawaran Allah SWT adalah syurga. Tawaran Allah SWT adalah membebaskan kita daripada neraka. Tawaran Allah SWT bersifat pasti. Inilah hebatnya tawaran ALLAH SWT yang tidak akan menzalimi hamba-Nya dan segala-galanya kembali kepada kehendak dan ketentuan Ilahi.



No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com