expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 4 July 2012

Iran hukum Eropah













Ahli parlimen Iran meluluskan rang undang-undang melarang kapal minyak melalui Selat Hormuz menuju ke negara Eropah yang mengenakan sekatan minyak ke atasnya. - Foto Agensi


Lulus rang undang-undang larang kapal minyak belayar di Selat Hormuz


Tehran: Kira-kira 100 ahli Parlimen Iran menandatangani rang undang-undang melarang kapal tangki minyak belayar di Selat Hormuz ke negara Eropah yang mengenakan sekatan ke atas minyak negara itu, lapor media kelmarin. “Projek ini adalah tindak balas kepada sekatan minyak dikenakan Kesatuan Eropah (EU) ke atas Republik Islam. Selari dengan rang undang-undang ini, kerajaan mempunyai hak menghentikan laluan kapal membawa minyak menerusi Selat Hormuz ke negara yang mengenakan sekatan minyak ke atas Iran,” kata Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen, Ebrahim Agha Mohammadi, yang dipetik agensi berita Mehr. 


Parlimen diminta meluluskan rang itu dan menganggap ia sebagai keutamaan.


Sekatan EU ke atas eksport minyak Iran berkuat kuasa Ahad lalu, mencetuskan kemarahan di Tehran yang berkata, langkah itu akan menjejaskan rundingan dengan kuasa dunia berhubung aktiviti nuklear.


Badan pemantau pasaran minyak dan penganalisis berkata, sekatan itu digabungkan dengan sekatan kewangan Amerika Syarikat Khamis lalu, memberi kesan kepada eksport minyak penting Iran, yang menyumbang sebahagian daripada pendapatannya.












Peluru berpandu jarak sederhana dilancarkan di Gurun Kavir, semalam. - Foto Agensi


Peluru berpandu
 

Agensi Tenaga Antarabangsa berkata, eksport minyak mentah Iran Mei lalu jatuh kepada 1.5 juta setong sehari ketika pasaran bersiap sedia dengan sekatan, yang dilakukan mengikut peringkat sejak diumumkan 23 Januari lalu.


Ia jauh kurang berbanding 2.1 hingga 2.2 juta setong yang ditegaskan Iran masih dijual di luar negara.


Semalam, Iran menguji peluru berpandu balistik yang mampu sampai ke Israel sebagai sebahagian latihan perang yang bertujuan mempamerkan kemampuannya membalas jika diserang, lapor media.


Pengawal Revolusi Iran melepaskan bedilan peluru berpandu jarak sederhana Shahab-3 pada sasaran mainan di Padang Pasir Kavir pada hari kedua latihan perang Great Prophet 7, yang dijangka berakhir hari ini, menurut televisyen Al-Alam.


Jarak Shahabb-3 boleh mencecah sehingga 2,000 kilometer, secara teori mampu menyerang Israel yang terletak kira-kira 1,000 kilometer dari negara berkenaan.


Laporan Al-Alam menyebut, dua peluru berpandu jarak sederhana, Shahab-1 dan Shahab-2, dengan jarak 300 hingga 500 kilometer juga dilancarkan.


Sementara itu, Amerika menggerakkan pasukan ke Teluk untuk memastikan laluan air strategik itu dibuka dan menyerang Iran jika berlaku ketegangan, lapor New York Times, semalam. - AFP

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com