expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 16 July 2012

Kelantan bakal terima imbuhan RM1.03 juta

Tan Sri Annuar Musa



KOTA BHARU – Faktor pengurusan yang efisien di samping sokongan peminat setia tempatan dilihat menjadi kunci kejayaan The Red Warriors sehingga mampu mempertahankan kejuaraan Liga Super pada musim ini.


Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, elemen yang dibentuk antara kedua-dua pihak itu memberi kekuatan kepada Kelantan untuk membawa pulang trofi tersebut ke Kota Bharu buat kali kedua berturut-turut.


“Saya bersyukur kerana kita dapat mempertahankan kejuaraan Liga Super sekali lagi. Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama berpasukan yang dibentuk sejak awal musim ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan malam kelmarin.


“Lebih penting, pemain juga menunjukkan komitmen yang begitu tinggi mahu meraih kejayaan selain kekuatan pasukan juga turut didokong dengan sokongan peminat setia kita sendiri.


Tampil selaku juara, Kelantan akan menerima ganjaran cukup lumayan iaitu RM750,000 di samping insentif tambahan RM325,024 daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak lama lagi.


Ini bererti Kelantan akan menerima imbuhan keseluruhan berjumlah RM1.075 juta. Insentif tambahan tersebut diperkenalkan oleh badan induk bola sepak kebangsaan bermula saingan Liga Malaysia musim ini.


Rentetan kejayaan tersebut, Annuar berkata, The Red Warriors akan kembali memberi tumpuan terhadap dua lagi pertandingan berskala besar yang disifatkan cukup mencabar bagi pasukannya selepas ini.


“Selain kempen Piala Malaysia, kita juga akan fokus perlawanan suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Al-Arbil dari Iraq pertengahan September nanti. Sebab itu kita bawa masuk Keita Mandjou dan Mijo Dadic bagi memperkuatkan pasukan Kelantan.


Dalam perkembangan lain, Annuar turut memaklumkan semua pemain Kelantan diberi cuti rehat selama dua minggu selepas beraksi pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Queens Park Ranger 20 Julai ini.


“Atas permintaan Bojan Hodak, beliau mahu semua pemainnya cuti panjang tanpa memikirkan langsung mengenai bola sepak. Selepas itu barulah mereka kembali menyertai latihan. Kita mahu ‘meremajakan’ semula pemain sebelum kempen Piala Malaysia bermula nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com