expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 16 July 2012

Kelantan kini tumpu Piala Malaysia, AFC


















Kepimpinan Kafa bersama trofi Liga Super yang disampaikan oleh FAM malam tadi.


JUARA Liga Super Kelantan akan memberi tumpuan khusus dalam saingan Piala Malaysia dan Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) selepas berjaya mengekalkan kejuaraan liga itu untuk musim kedua berturut-turut.


Kemenangan Kelantan membenam Sarawak 3-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini semalam, membolehkan skuad The Red Warriors itu menggumpul 60 mata daripada 26 perlawanan untuk mempertahankan gelaran itu yang dimenanginya tahun lepas.


Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, pemain Kelantan akan diberi cuti rehat selama dua minggu bermula 21 Julai ini iaitu sehari selepas menentang kelab Liga Perdana Inggeris Queens  Park Rangers (QPR) dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam.


"Cuti dua minggu itu diberi supaya pemain dapat berehat bersama keluarga selepas saingan Liga Super dan mereka akan kembali menjalani latihan selama dua minggu sebagai persiapan menghadapi kedua-dua kejohanan tersebut,"  katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan perlawanan tersebut, malam tadi.


Kelantan merupakan pasukan ketiga berjaya mempertahankan gelaran Liga Super sejak ia diperkenalkan pada 2004 selepas Kedah melakukannya pada 2007 dan 2008 serta Selangor (2009 dan 2010).


Ditanya mengenai kemampuan pasukan Kelantan mempertahankan trofi liga untuk musim kedua berturut-turut, Annuar berkata ia merupakan hasil usaha berterusan pemain, pengurusan pasukan serta penyokong negeri itu.


"Pemain juga sentiasa mempamerkan semangat juang tinggi ketika beraksi dan kita juga mempunyai barisan penyokong yang setia," katanya. Skuad The Red Warriors yang membuat penampilan sulung dalam Piala AFC musim ini, turut mencatat sejarah apabila mara ke peringkat suku akhir dalam saingan kejohanan itu.


Kelantan dijadual bertemu pendahulu Liga Iraq, Arbil FC menerusi perlawanan timbal balik pada 18 September di Iraq dan 25 September di Kota Bharu. - Bernama 

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com