expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 16 July 2012

Mitos 3 raksasa





KEINDAHAN dan kehijauan persekitarannya cukup mendamaikan. Malah, kebiruan airnya tampak mengasyikkan. 


Begitulah panorama Tasik Biru di Bau, Sarawak yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Bandaraya Kuching. Memang nama Tasik Biru ini agak asing kepada kebanyakan pelancong dan atas sebab itulah kerajaan negeri Sarawak sedang membangunkannya untuk dijadikan lokasi tarikan terbaru di negeri ini.


Bagaimanapun, mereka yang pertama kali melihat Tasik Biru yang terletak satu kilometer dari pekan Bau, pasti terpegun melihat air jernih kebiru-biruan yang seterusnya memberikan pemandangan menakjubkan kepada pelancong atau pengembara. 




 Mengikut cerita dongeng penduduk setempat, tasik ini dikatakan menjadi habitat kura-kura emas yang menyebabkan ia menjadi tumpuan ramai. Dan daripada cerita mitos pula, dikatakan Tasik Biru ini dikaitkan dengan misteri kemunculan tiga raksasa sekitar tahun 1988 yang dikatakan berukuran tiga meter panjang berenang di bawah permukaan tasik mengakibatkan pemandangan cantik ini tampak suram dan menyeramkan. 


Malah keindahan tasik itu membuatkan penyair Kemala atau Ahmad Kamal Abdullah mengabadikannya dalam sajak 21 baris bertajuk Tasik Biru. Sajak beliau menjadi sebahagian daripada teks mata pelajaran sastera bagi penuntut Tingkatan Satu. 




Tasik Biru sebenarnya bukanlah tasik semula jadi kerana ia terbentuk daripada aktiviti perlombongan emas yang dijalankan oleh Borneo Company pada 1898. Namun, operasi lombong itu ditutup ekoran banjir yang melanda pada tahun 1921 sehinggalah ia dibuka semula kepada umum pada 21 April 2001 tetapi sebagai lokasi pelancongan. 


Sejak itu, tasik yang memiliki kedalaman 91 meter dan meliputi keluasan kira-kira enam hektar mula dikenali ramai. Sebagaimana tasik lain, tasik yang menjalani kerja pembesaran pada tahun 2000 itu mampu menggamit pelancong untuk singgah sebentar bagi menikmati pemandangan di situ. 


Nama asalnya dikenali sebagai Tasik Tai Parit sebelum ditukarkan menjadi Tasik Biru pada 1970-an. Keindahan Tasik Biru tergugat selepas kemalangan membabitkan sebuah bas sekolah yang terjatuh ke dalam tasik ini dan mengorbankan 28 pelajar termasuk dua guru pelatih pada akhir 1980-an. 


Selepas kejadian itu, Tasik Biru ditutup dan kegiatan melombong emas dijalankan semula sehinggalah awal tahun 2000. Kini tasik ini dihidupkan semula dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti tandas, kedai makan, taman rekreasi dan sebagainya. 




Ia dibuka kepada orang ramai yang ingin beriadah sambil menikmati udara segar sambil melihat sendiri tasik buatan manusia yang kebiru-biruan sambil merenungi sejenak sejarah yang tersirat di dalamnya. Terkini, Kementerian Pelancongan sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO agar menjadikan daerah Bau khususnya Tasik Biru sebagai sebahagian daripada Global Geopark mengambil contoh seperti pembangunan di Langkawi.

2 comments:

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com