expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 1 July 2012

Pelbagai khasiat beri hitam




Beri hitam ( blackberry ) adalah buah berganda yang terdiri daripada buah-buah kecil  yang banyak dikenali sebagai drup ( pepauh ). Ramai yang keliru antara buah beri hitam dengan rasberi hitam. Kedua-duanya memiliki rasa yang berbeza. Buah beri hitam memiliki bahagian tengah yang pejal manakala buah rasberi pula berlubang di bahagian tengahnya.


Beri hitam adalah tumbuhan semulajadi yang berasal daripada Eropah. Pokok ini memiliki batang yang berduri. Ia boleh mencapai ketinggian sehingga  5 meter. Ia memiliki daun hijau yang berbulu. Daunnya tumbuh dalam kelompok tiga  hingga lima helai daun. Bunganya berwarna putih dan juga merah jambu.


Buah daripada genus Rubus fruticosus (Eropah ) dan Rubus villosus ( Amerika ) ini berwarna ungu pekat dengan kulit yang halus dan mudah pecah. Buahnya boleh dimakan dan memiliki khasiat ubatan. Ia juga amat popular untuk dijadikan sebagai pai, jeli, jem malah wain. Tetapi daun dan akarnya biasa digunakan untuk tujuan perubatan herba.




 
Akar dan daun pokok beri hitam bersifat astringen ( mengecutkan sel-sel ), diuretic ( penambah jumlah air kencing ) dan tonik ( peningkatan tenaga ) . Ini menyebabkan akar dan daun pokok beri hitam dikatakan amat sesuai sebagai ramuan ubatan herba untuk merawat masalah disenteri ( jangkitan trek usus yang menyebabkan cirit-birit teruk diiringi darah dan mukus ), diarrhea ( cirit-birit ), buasir, dan sistik ( berkaitan dengan sista ).


Bahagian yang paling astringen adalah akarnya. Air rebusan akar boleh digunakan untuk merawat sakit tekak, ulser dalam mulut dan keradangan gusi. Air rebusan daunnya juga dikatakan berguna sebagai air kumur untuk mencuci mulut. Kehadiran sejumlah besar tannin dalam akar beri hitam dan daun memberikan kesan berguna untuk merawat cirit-birit dan juga melgakan sakit tekak.




 
Merawat mati pucuk


Orang Greek zaman dahulu dikatakan bergantung pada beri hitam unrtuk merawat penyakit gout. Hanya mereka sahajalah yang menggunakan herba ini untuk tujuan sedemikian. Disebabkan pen gubatan Greek sangat berpengaruh di Eropah pada masa itu telah membuatkan beri hitam ini turut dipanggil dengan nama Goutberry.


Orang  China zaman dahulu telah menggunakan beri hitam yang belum matang untuk merawat masalah buah pinggang, kencing tidak terkawal dan mati pucuk. Orang Roman pula mengunyah daun dan kulit  pokok beri hitam untuk merawat pendarahan gusi dan juga merawat diarrhea. Semasa zaman pertengahan, daun beri hitam ditampal pada kulit untuk melegakan kulit terbakar dan melecur.




 
Sekarangi ini beri hitam telah diiktiraf sebagai antioksidan. Ia dikatakan sebagai pencegahan terhadap penyakit jantung, barah dan kemerosotan mata.


Buah beri hitam mengandungi serat mudah larut dan tidak mudah larut. Serat tidak mudah larut membantu dalam kesihatan sistem penghadaman melalui cara membenarkan usus besar menyerap air berlebihan dengan lebih mudah. Ia menambah bahan berat pada najis sekaligus mencegah sembelit dan menyumbang kepada kesihatan sistem penghadaman.


Beri hitam juga merupakan sumber semulajadi fitokimia asid ellagic. Menurut Persatuan Kanser Amerika, asid ellagic menawarkan rawatan baru untuk kanser. Semasa kajian makmal, asid ellagic dikatakan telah melambatkan pertumbuhan tumor malignan dan membunuh sel-sel kanser dalam haiwan ujian. Namun begitu, kajian selanjutnya perlu dilakukan bagi menentukan kesan sepenuhnya anti barah asid ellgic pada manusia.




 
Tinggi vitamin C


Beri hitam juga dikatakan mengandungi serat mudah larut dan pectin, dua bahan yang dipercayai mampu merendahkan LDL atau kolesterol jahat. Beri hitam juga turut mengandungi kandungan vitamin C yang tinggi.


Kandungan magnesium dalam buah beri hitam pula dikatakan menyumbang kepada kesihatan kardiovaskular melalui cara merehatkan arteri dan pembuluh darah dalam tubuh. Ia sekaligus membenarkan darah kaya dengan oksigen untuk mengalir dengan lebih mudah ke  jantung. Magnesium juga dikatakan mampu mencegah radikal bebas daripada merosakkan otot jantung.


Walaupun terdapat pelbagai kebaikan dan khasiat perubatan beri hitam, namun begitu penggunaannya untuk tujuan perubatan perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com