expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 16 July 2012

Piala Malaysia: Terengganu mahu dapatkan pemain tambahan

Pengendali Terengganu, Peter James Buttler



PENGENDALI Terengganu, Peter James Buttler mengakui sedang mengintai beberapa pemain untuk membantu memantapkan Skuad Penyu bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang bakal membuka tirai Ogos ini.


Menurutnya, beliau berhasrat membawa masuk dua pemain bagi menghadapi perlawanan paling berprestij di negara ini, terutama bagi posisi penyerang yang dilihat masih perlu diperbaiki, namun katanya perkara itu perlu dibincangkan secara bersama de ngan pihak pengurusan.


“Mungkin kita akan meminjam dua pemain untuk membantu pasukan, tetapi kita perlu duduk semeja dengan pengurusan (Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu- PBSNT) terlebih dahulu, dan kalau boleh kita ingin membawa masuk penyerang,” katanya.


Ditanya pemain mana yang mungkin menarik perhatiannya, Buttler secara peribadi mengakui beliau lebih tertarik untuk membawa pemain dari skuad Piala Presiden Terengganu untuk membantu memperkuatkan pasukan kendaliannya.


“Saya kalau boleh mahu memberi peluang kepada pemain Piala Presiden dan lebih adil kerana kita mempunyai ramai pemain berbakat,” katanya.


Bekas pengendali Kelantan itu juga mengakui tidak bimbang diundi dalam kumpulan mana bagi menghadapi Piala Malaysia musim ini, kerana yakin dengan kemampuan dan kebolehan barisan pemainnya.


“Diundi dalam kumpulan mana, bukan soalnya dan jika pemain mempamerkan aksi seperti perlawanan malam ini, (kelmarin) saya tidak rasa kita ada masalah untuk bersaing,” katanya.


Pada aksi penutup Liga Super malam kelmarin, Skuad Penyu berjaya menundukkan Selangor 3-0. Mereka turut menggunakan khidmat dua pemain dari skuad Piala Presiden, Md Fakhrurazi dan Md Khairul dan kedua-duanya beraksi cemerlang bagi membantu Terengganu mengutip tiga mata penuh.


Terengganu yang muncul juara Piala FA musim lalu bukan sahaja gagal mempertahankan kejuaraan, malah nasib juga tidak menyebelahi apabila sekadar menduduki tangga kelima Liga Super musim ini.


Namun, pasukan dari Pantai Timur itu sudah pasti tidak mahu mensia-siakan peluang mencipta kejutan dalam kempen Piala Malaysia musim ini, sekali gus mengulangi kejayaan yang diraih pada 2001.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com