expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, 2 July 2012

Restoran China dikuasai robot
















KANAK-KANAK ini terpegun melihat pelayan robot membawa makanan.


HARBIN (China): Kata orang, satu hari nanti, robot akan melayan manusia, dalam kes ini, boleh dianggap sebagai pembuka selera.


Sekiranya anda pergi ke restoran ini yang terletak di bandar Harbin, China, anda akan melihat 18 robot, dari pelayan ke tukang masak, hinggalah ke penyambut tetamu, bersedia untuk memastikan pengalaman menikmati makanan yang sempurna.


Restoran itu mempunyai 18 jenis robot dan setiap satu akan bergerak ke dapur untuk menyediakan makanan anda. Hidangan istimewa di sini termasuklah robot dumpling dan mi robot.


Apabila tetamu melangkah masuk, robot penyambut tetamu akan mendepangkan tangan mereka ke tepi dan dengan suara cereka sains yang lancar, mereka berkata “Orang Bumi. Helo. Selamat datang ke Restoran Robot.”



















 


ROBOT menghiburkan pelanggan cilik.


Selepas tetamu membuat pesanan mereka, robot di dapur akan mula memasak.


Sebaik saja hidangan siap, robot pelayan yang bergerak menggunakan laluan di lantai, membawanya dari dapur ke meja.


Hidangan yang siap itu diletakkan di atas sawat penyampai yang tergantung dan apabila tiba di meja yang betul, tangan mekanikal akan mengangkat hidangan itu dan meletakkan di atas meja.


Sambil tetamu makan, satu lagi robot akan menyanyi untuk menghiburkan mereka.


Semua robot di dalam restoran itu direka dan dihasilkan oleh Syarikat Harbin Haohai Robot. 


Ketua Jurutera, Liu Hasheng berkata, mereka melaburkan 5 juta yuan (RM2.5 juta) untuk membina restoran itu dan setiap robot berharga antara RM100,000 hingga RM150,000.


Katanya, “Staf di bilik komputer boleh mengendali keseluruhan pasukan robot itu. Selepas waktu puncak setiap hari, robot ini akan berehat untuk “makan” iaitu bekalan elektrik.”


Liu berkata, selepas dicaj selama dua jam, robot ini boleh bekerja tanpa henti selama lima jam. 


Restoran ini kini menyediakan menu lebih 30 hidangan dan setiap satu berharga antara RM20 dan RM25. - DM

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com