expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 18 July 2012

Setengah tan gading dirampas

















Seorang pegawai kastam Thailand meneliti gading yang dirampas ketika ditunjukkan kepada media di Bangkok. - Foto AP 


Pesawat dari Kenya bawa muatan terlarang


Bangkok: Kastam Thai merampas setengah tan gading di lapangan terbang antarabangsa Bangkok ditemui Jumaat lalu disembunyikan dalam peti pesawat dari Kenya. Pegawai kastam mempamerkan gading seberat 465 kilogram itu di sini semalam. 


Pegawai memberitahu, mereka bertindak atas maklumat merampas gading itu, yang berada dalam enam peti dilabelkan sebagai hasil kerja tangan. 


Belum ada sesiapa yang ditangkap dalam kes itu. Gading yang dirampas itu mungkin dimusnahkan. 


Gading dibawa ke Thailand selalunya digunakan untuk membuat ukiran Buddha atau barang kemas. Thailand juga menjadi pusat persinggahan untuk pasaran lain termasuk China. 


Perdagangan gading diharamkan konvensyen antarabangsa dikenali sebagai CITES pada 1989. 


Ia bertujuan memerangi kegiatan memburu gajah secara haram, yang memberi kesan kepada haiwan itu secara global beberapa dekad lalu. 


Laporan berasingan menyatakan, Laos menjadi tempat utama urus niaga gading haram membabitkan pelancong asing. 


Laporan itu disiarkan rangkaian pemantauan urus niaga hidupan liar (TRAFFIC) yang menyatakan jual beli gading dilakukan secara terbuka di Laos dan banyak gading dari negara Afrika dihantar ke negara berkenaan. 


“Ini menunjukkan negara itu memainkan peranan besar dalam jualan gading antarabangsa khususnya sebagai tempat persinggahan sebelum dihantar ke China,” dakwa laporan itu. 


Kaji selidik TRAFFIC pada Ogos 2011 mendapati, 2,493 gading termasuk dalam bentuk barang kemas dijual terbuka di Vientiane. 


Gading itu dijual dalam mata wang dolar Amerika Syarikat dan yuan China, bukannya Kip Laos yang menunjukkan pelawat asing adalah pembeli utama. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com