expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 16 July 2012

Terengganu turun sebagai ‘underdog'


















Atlet hoki Terengganu berjaya melakar sejarah baru apabila berjaya mara ke pentas final selepas menewaskan Pulau Pinang, 5-4 pada aksi separuh akhir.


KUANTAN -  Pasukan hoki lelaki Terengganu akan turun sebagai pasukan bukan pilihan apabila bertemu Wilayah Persekutuan pada perlawanan akhir di Stadium Hoki, Wisma Belia Bandar Indera Mahkota, malam nanti (semalam).


Terengganu  berjaya mara ke pentas final setelah menewaskan Pulau Pinang, 5-4 pada perlawanan separuh akhir acara hoki Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 malam kelmarin seterusnya menamatkan penantian selama 16 tahun untuk beraksi di peringkat akhir.


Justeru pengendalinya, Nik Rozemi Nik Mohamed menuntut anak buahnya  supaya tidak mudah leka dan sentiasa fokus sepanjang 70 minit perlawanan seterusnya mencari jaringan awal.


Menurutnya, kemenangan malam kelmarin menjadi pembakar semangat kepada pemainnya untuk terus memberi yang terbaik menjelang akhir esok (semalam).


“Kita akan cuba sebaik mungkin kerana kita tahu bahawa Wilayah Persekutuan adalah pasukan pilihan dan mengharapkan pemain dapat terus mengekalkan rentak yang konsisten sebagaimana pada perlawanan separuh akhir.


“Alhamdulilah, kesemua pemain kita bebas daripada sebarang kecederaan dan bersedia memberikan tentang yang terbaik seterusnya mencipta sejarah baru dalam acara hoki di temasya Sukma kali ini,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.


Mengulas berhubung perlawanan menentang Pulau Pinang, Nik Rozemi mengakui kehadiran penyerang kebangsaan, Faizal Saari menjadi kunci utama kejayaan pasukannya ketika menewaskan Pulau Pinang 5-4 pada perlawanan sengit yang mengheret  perlawanan kepada masa tambahan setelah terikat 4-4.


“Kehadiran Faizal  dalam skuad Terengganu tahun ini banyak membantu pasukan dan dia sememangnya tonggak utama kami pada keseluruhan perlawanan.


“Begitupun saya memuji usaha yang dilakukan Muhammad Firhan Ashari apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk membantu Terengganu melakar kemenangan dramatik 5-4 pada minit ke-85,” katanya.


Terengganu yang mendominasi perlawanan 3-0 pada aksi babak pertama perlawanan menerusi hatrik jaringan Faizal Saari dikejutan dengan kebangkitan anak didik, Jayanandhan yang berjaya merapatkan jurang seterusnya mendahului kedudukan hasil jaringan Mohd. Khairul Naim Johari pada minit ke-39, Muhammad Rahimi Iskandar Baharom (42), Muhammad Azwar Abdul Rahman (58) dan Ahmad Tarmizi Ismail (64).


Bagaimanapun Terengganu berjaya menyamakan kedudukan menerusi  Faizal Saari pada minit ke-68 sehingga mengheret perlawanan kepada masa tambahan dan kebangkitan Muhammad Firhan pada  minit ke-85 mencipta sejarah baru kepada pasukan pantai timur ini melangkah ke pentas akhir.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com