expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday 19 July 2012

Kerjasama Interpol, Google




CALIFORNIA 18 Julai - Polis Antarabangsa (Interpol) semalam mengumumkan satu inisiatif untuk menghapuskan jenayah perdagangan barangan palsu menerusi penggunaan aplikasi pengimbas yang dibangunkan bersama oleh syarikat carian Google.


Interpol melalui Badan Pendaftaran Globalnya (IGR) membuat pengumuman itu semasa sidang akhbar di ibu pejabat Google di utara Los Angeles, dengan sasaran untuk mengesan produk palsu melalui aplikasi keselamatan tersebut.


Setiausaha Agung Interpol, Ronald Noble berkata, buat masa ini, pelanggan tidak dapat mengenal pasti ketulenan barangan tertentu terutamanya melibatkan produk farmaseutikal, tembakau dan barangan rumah.


"Aplikasi ini akan membantu pengguna, penguatkuasa atau syarikat perniagaan mengimbas kod dan memastikan sesuatu produk itu tulen atau palsu.


"Produk palsu yang diimbas akan menunjukkan warna merah manakala produk tulen berwarna hijau," katanya.


Firma Google mencipta aplikasi itu mengikut konsep yang digunakan dalam sistem operasi Android, namun Interpol merancang untuk menggunakan sistem terbabit dalam Apple, Blackberry dan Microsof.


Satu daripada firma yang menggunakan sistem baru tersebut, PharmaSecure, meletakkan kod keselamatan pada lebih sejuta paket produk farmaseutikal yang dihasilkan di India pada setiap hari.


Pengasas bersama firma PharmaSecure, Nathan Sigworth berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Interpol dalam membantu pelanggan di seluruh dunia untuk mengesan produk perubatan mereka melalui usaha yang dijalankan IGR itu.


Interpol turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat tembakau British American Tobacco, Imperial Tobacco Group, Japan Tobacco International dan Philip Morris International untuk memastikan rantaian bekalan sistem kawalan produk mereka diakses melalui IGR. - AFP

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com