AL-QURAN dalam surah al-Asr menyebutkan tentang kerugian
manusia kecuali orang-orang yang beramal soleh dan mempunyai sifat yang baik
iaitu sabar.
Ini memberi penekanan bahawa orang-orang yang beriman
terlihat pada amal yang soleh. Bagi remaja, ia asas penting bagi membentuk
watak dan diri yang Islami.
Sebagai remaja Islam, tidak sahaja aspek-aspek rohaniah perlu
diperkukuhkan tetapi aspek amalan juga perlu diperteguhkan. Cerminan terhadap
Islam tidak sahaja terlihat pada faktor-faktor batiniah tetapi keindahan Islam
itu perlu dilihat pada pekerti, gelagat dan tingkah laku.
Oleh itu amat penting bagi remaja supaya bukan sahaja
memperteguhkan amalan yang bersifat rohani tetapi juga mempertingkatkan sesuatu
yang bersifat amali.
Islam berdiri atas kekuatan nilai-nilai dan prinsip
berasaskan al-Quran. Nilai-nilai amanah, jujur, ikhlas, adil dan bijaksana
umpamanya bukan sahaja nilai-nilai yang bersifat ungkapan.
Ungkapan ini harus dijelmakan dalam amal dan perbuatan, maka
baru terlihat keindahan Islam itu agar sentiasa disebut dan dihayati.
Remaja yang amanah tidak sahaja menghubungkan dirinya dengan
Allah tetapi dalam masa yang sama menghubungkan dirinya dengan manusia dan
sistem.
Apabila remaja memiliki rasa amanah yang tinggi, sesuatu yang
dilakukannya adalah dalam pertimbangan Allah, bukan semata-mata kerana
pertimbangan nafsu-nafsi dan rasa. Apabila amanah dengan Allah itu terjadi,
maka remaja akan menjadi orang yang memahami maksud dosa dan pahala.
Remaja yang jujur pula adalah remaja yang memiliki nilai
ihsan yang tinggi. Ihsan bermaksud apabila kita melakukan kebaikan berdasarkan
keyakinan kepada Allah.
Jujur sesama manusia secara fitrah tentu ada batasnya. Tetapi
jujur dengan Allah tidak mendorong kita untuk berbohong dan berdusta. Dengan
kualiti ihsan yang tinggi, remaja akan memiliki daya kawalan kerana setiap
perlakuan diyakini sentiasa dilihat serta bakal dipertanggungjawabkan kelak.
Remaja yang ikhlas adalah remaja yang menghubungkan diri
dengan Allah dan juga manusia.
Kata pendita Za'aba: "Berbuat baik ayuhai rakan, kalau
tidak dikenal insan, dalam laut ia dicampakkan, kalau tidak dikenal ikan, Tuhan
tahu iakah bukan."
Keikhlasan ini terkait dengan sesuatu yang kita kerjakan
untuk mendapat keredaan Allah.
Reda Allah tunjangnya adalah keikhlasan. Apabila keikhlasan
dengan Allah terjadi maka kesan keikhlasan itu akan kembali semula kepada
remaja dan amalannya.
Jika tiada keikhlasan pada remaja maka sesuatu yang diamalkan
hanyalah kerana nafsu-nafsi atau hal-hal yang bermaksud kebendaan semata-mata.
Remaja yang adil pula adalah yang dapat meletakkan sesuatu
pada tempatnya. Ia bermaksud hasil pemikiran yang baik didukung oleh
pertimbangan syarak bakal memperteguhkan tiang-tiang keadilan, sama ada pada
diri dan masyarakat.
Apabila remaja mampu berlaku adil pada diri sendiri dan
terhadap orang lain, apa sahaja yang dilakukan oleh remaja sentiasa berada di
pihak yang benar.
Remaja yang bijaksana adalah remaja yang dapat membuat
pertimbangan antara buruk dan baik, makruf dan mungkar serta hak dan batil.
Asas ini penting bagi remaja supaya corak kehidupan yang
dilalui, keputusan yang diambil serta rumusan yang dibuat hasil adanya
kebijaksanaan yang didukung oleh faktor syarak dan ilmu yang benar sentiasa
mengambil pertimbangan bahawa ia dilakukan kerana Allah dan niat yang ikhlas.
Nilai-nilai yang dinyatakan di atas adalah menjadi pedoman
dalam amal perbuatan remaja.
Bayangkan sekiranya sejak remaja lagi nilai-nilai ini menjadi
sumber rujukan dan amalan kepada remaja, para remaja bakal menjadi orang dewasa
yang berwibawa tinggi.
Tinggi dalam pemikiran, hebat dalam rohani dan cemerlang
dalam amali. Inilah asas didik dan tarbiah yang perlu dilalui oleh remaja
betapa kekuatan rohani berhubung terus dengan Allah.
Tanpa kehebatan akal, para remaja tidak boleh menjana ilmu
yang benar dan bermanfaat untuk diserapkan dalam hati.
Tanpa akal dan budi yang bertaut dengan nilai-nilai rabbani,
corak, daya dan amal remaja akan pincang.
Tetapi tautan fikir dan zikir yang berlandaskan al-Quran
bakal membentuk pola berfikir, pola hati dan pola pekerti yang seimbang.
No comments:
Post a Comment