expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday, 26 May 2012

Bilakah hari Kiamat?



Kejadian gempa bumi yang berlaku adalah sebahagian daripada bukti kekuasaan Allah, sekali gus mengatasi kecanggihan teknologi moden masa kini. - Gambar hiasan 


Tafsir Al-Quran & Asbabun Nuzul 


SURAH ini diturunkan selepas surah al-Qari'ah. Keseluruhan ayatnya berjumlah 40 ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makkiah. 


Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya, bahawa di dalam surah sebelumnya ada menyebutkan tentang firman Allah SWT yang bermaksud: Sebenarnya (bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil) bahkan mereka (tidak percaya) dan tidak takut akan hari akhirat. (al-Mudassir: 53)


Mereka tidak berasa takut dengan kedatangan hari akhirat itu disebabkan keingkaran tentang kebangkitan semula. 


Manakala dalam surah ini pula terdapat dalil tentang hari kebangkitan yang disebutkan dengan cara yang sempurna sehingga digambarkan hari Kiamat itu dengan segala kengeriannya.


Kemudian digambarkan pula apa yang berlaku sebelum terjadinya hari Kiamat, iaitu keluarnya roh dari badan. Dan disebutkan juga apa yang berlaku sebelum itu iaitu penciptaan yang pertama.


Firman Allah SWT: Aku bersumpah demi hari Kiamat. Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri). (al-Qiyamah: 1-2)


Al-Farra' berkata: "Tidak ada nafsu yang baik dan buruk kecuali ia mencela dirinya. Jika ia mengerjakan kebaikan, ia mengatakan 'mengapa aku tidak memperbanyakannya'. Sebaliknya jika ia mengerjakan keburukan, ia mengatakan 'seandainya aku tidak melakukannya'. Gambaran ini menunjukkan pujian terhadap jiwa dan boleh bersumpah dengan jiwa."


Sumpah Allah SWT dengan hari Kiamat itu untuk membesarkan dan menghormati keadaannya. Allah SWT sahaja boleh bersumpah dengan apa yang dikehendaki-Nya daripada makhluk-Nya.


Said Ibnu Jubair berkata: "Aku bertanya kepada Ibnu Abbas tentang firman Allah SWT: Aku bersumpah dengan hari Kiamat. Dia menjawab: Tuhanmu bersumpah dengan apa yang dikehendaki-Nya daripada makhluk-Nya."
Qatadah berkata: " Aku bersumpah dengan keduanya secara keseluruhan."


Ibnu Jarir berkata: "Yang lebih dekat dengan lahiriah ayat bahawa jiwa mencela pemiliknya atas kebaikan dan keburukan serta menyesali segala perkara yang telah berlalu."


Firman Allah SWT: Apakah manusia mengira, bahawa kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya? Bukan demikian, sebenarnya kami kuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna. (al-Qiyamah: 3-4)


Al-Maraghi berkata: "Allah SWT dapat mengumpulkan semua tulang-temulang, menyusun dengan sempurna dan mengembalikan seperti dalam keadaan asal selepas tulang-temulang itu bercerai-berai dan bertebaran di dasar lautan atau di padang pasir yang luas, mahupun di mana-mana tempat. Allah SWT juga dapat meratakan hujung kedua-dua tangan dan kakinya. Allah SWT jadikan kedua-duanya itu menjadi satu, seperti kuku unta, keldai dan sebagainya."


Ibnu Kathir berkata: "Apakah pada hari Kiamat kelak manusia akan mengira bahawa Kami (Allah) tidak akan mampu mengembalikan sekali gus dan mengumpulkan tulang-belulangnya dari tempat yang terpisah-pisah?"


Said bin Jubair dan al-'Aufi berkata daripada Ibnu Abbas: "Kami (Allah) mampu membuatnya beralas kaki ataupun tidak beralas kaki."


Sayid Qutub berkata: "Yang menjadi masalah kesedaran kaum musyrikin ialah kesulitan mereka untuk memikirkan kemungkinan tulang-tulang yang telah hancur reput di dalam tanah itu dapat dikumpulkan kembali untuk menghidupkan semula manusia yang telah mati. Mungkin masalah ini masih menjadi masalah kepada setengah-setengah manusia sehingga hari ini." 


Ayat ini juga menerangkan tentang proses penyusunan semula jari-jari yang merupakan proses pembentukkan semula seseorang manusia dengan sehalus-halus dan serapi-rapinya. Dan penyusunan semula itu dilakukan dengan sempurna.


Firman Allah SWT: Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus menerus. (al-Qiyamah: 5)


Al-Maraghi berkata: "Allah SWT beralih daripada perbincangan tentang orang yang berprasangka itu, kepada pemberitahuan tentang keadaan orang yang berprasangka tadi, seolah-olah dikatakan: "Tinggalkan mencacinya kerana dia telah sampai kepada tahap, dia ingin meneruskan kemaksiatannya pada masa akan datang dan tidak ingin meninggalkannya."


Said mengatakan daripada Ibnu Abbas: Iaitu berjalan terus. Al-Aufi mengatakan daripada Ibnu Abbas juga iaitu angan-angan.


Manusia berkata: "Aku akan melakukan ini dan kemudian akan bertaubat sebelum hari kiamat."


Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibnu Abbas iaitu orang kafir yang mendustakan hari perhitungan.


Firman Allah SWT: Ia berkata: Bilakah hari kiamat itu? (al-Qiyamah: 6)


Menurut Al-Maraghi, mereka mengingkari hari kebangkitan lantaran dua perkara berikut:


1. Kekaburan yang wujud dalam pemikiran, seperti ucapan mereka yang mengatakan bahawa anggota tubuh ini, apabila telah bercerai-berai dan bercampur-aduk dengan tanah serta berserakan di bahagian timur dan barat bumi, maka bagaimana mungkin untuk dibeza-bezakan dan dikembalikan semula keadaannya yang asal itu.


2. Sentiasa ingin berada dalam kenikmatan dan suka menurut nafsu syahwat sehingga orang tidak mahu mengakui kedatangan hari perhimpunan dan kebangkitan, supaya kenikmatannya itu tidak terganggu.


Ibnu Kathir berkata: " Dia bertanya, bilakah hari Kiamat itu tiba? Pertanyaan ini menuju ke arah menganggap mustahil berlaku kejadian hari Kiamat dan mendustakan keberadaannya."


Sayid Qutub berkata: "Pertanyaan dengan menggunakan kata-kata ayyana (bilakah) yang bernada panjang itu menyarankan betapa jauhnya bagi mereka kemungkinan berlakunya hari Kiamat itu. Ini sesuai dengan keinginan mereka untuk terus melakukan kejahatan dan maksiat tanpa diganggu dan dihalang oleh bayang-bayang kebangkitan semula atau bayang-bayang akhirat. Sebenarnya akhirat itu merupakan pengawal nafsu kejahatan dan penghalang hati yang ingin melakukan maksiat, sedangkan manusia mahu menghapuskan pengawal dan penghalang ini supaya mereka bebas melakukan kejahatan dan maksiat tanpa memperhitungkan hari hisab."


Dalam surah yang kita bincangkan di atas jelas menunjukkan betapa berkuasanya Tuhan di dalam mengatur kejadian dan ciptaan-Nya yang Maha Agung. Allah SWT boleh melakukan apa sahaja, sedangkan manusia dengan sifatnya yang lemah kadang-kadang terbabas dalam melayari bahtera kehidupan sehingga melanggar perintah dan arahan Allah. Semoga kita menjadi hamba-Nya yang sentiasa taat dan patuh terhadap perintah-Nya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com