expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 17 July 2012

Apek ikrar kekalkan trofi




KUALA LUMPUR - Khairul Fahmi Che Mat bertekad mengulangi kejayaan memenangi Piala Suzuki AFF apabila Malaysia menjadi tuan rumah bersama Thailand pada kejohanan edisi 2012.


Menurut penjaga gol kebangsaan itu, walaupun saingan kali ini lebih sengit dengan kehadiran dua musuh tradisi, Singapura dan Indonesia pada peringkat kumpulan, dia berazam untuk membantu Harimau Malaya mengekalkan kejuaraan.


"Kita diundi bersama Singapura dan Indonesia dalam Kumpulan B. kedua-dua pasukan ini mempunyai sejarah dengan skuad kebangsaan, jadi saingan dijangka lebih sengit walaupun kita pernah menewaskan Indonesia di tempat mereka dan baru-baru ini mengalahkan Singapura dalam aksi persahabatan," katanya selepas dilantik menjadi duta minuman isotonik 100PLUS semalam.


Khairul Fahmi atau Apek bukan sahaja mengharapkan Malaysia mara ke peringkat yang jauh dalam saingan Suzuki AFF, tetapi mengharapkan Myanmar juga dapat melengkapkan senarai Kumpulan B.


"Myanmar sebuah pasukan yang bagus dan tidak boleh dipandang rendah. Begitu juga pasukan lain yang berada dalam Kumpulan A seperti Thailand, Vietnam dan Filipina, ia akan menghangatkan lagi kejohanan," katanya.


Mengenai peluang Kelantan untuk menambah trofi setelah meraih Piala FA dan mempertahankan piala Liga Super, Khairul Fahmi berkata, dia serta rakan-rakan akan berusaha yang terbaik terutama sekali dalam saingan Piala AFC.


"Kami sudah sampai ke peringkat suku akhir Piala AFC dan bakal bertemu pasukan yang bagus di peringkat ini termasuk bertemu dengan kelab dari Asia Barat.


"Saya juga perlu berusaha dengan baik dan fokus satu persatu kejohanan yang saya akan hadapi sehinggalah ke saingan Piala Suzuki AFF bagi menghabiskan saingan untuk musim ini. 


"Saya yakin semua jurulatih tahu bagaimana untuk menyediakan saya pada prestasi terbaik walaupun terpaksa bermain dalam perlawanan yang banyak," katanya.


Penjaga gol No.1 Malaysia itu diumumkan sebagai duta 100PLUS dengan slogan 'Sentiasa Cergas di Bulan Mulia' sempena Ramadan.


Khairul Fahmi, 23, menandatangani kontrak dua tahun dengan 100PLUS dan akan tampil dalam kempen iklan televisyen, radio dan digital untuk sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Imejnya akan dipaparkan pada pek edisi terhad botol 1.5 liter 100PLUS.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com