expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 3 July 2012

Banjir terburuk India ragut 81 nyawa

















Pemandangan dari udara menunjukkan daerah Sonitpur di timur laut India yang ditenggelami banjir. - Foto Reuters 


Lebih dua juta tinggalkan rumah, berlindung di kem sementara


Guwahati: Banjir terburuk dalam tempoh 10 tahun yang melanda timur laut India, menyebabkan sekurang-kurangnya 81 maut manakala 2.2 juta penduduk terpaksa meninggalkan rumah, kata pihak berkuasa. Negeri Assam, yang bersempadan Bhutan dan Bangladesh, paling teruk terjejas berikutan Sungai Brahmaputra melimpah, sementara banjir besar turut menjejaskan Arunachal Pradesh dan Manipur. 


Perdana Menteri India, Manmohan Singh berkata, kira-kira setengah juta penduduk terpaksa berlindung di kem bantuan yang didirikan di seluruh negeri Assam. 


Kerajaan Assam berkata 26 daripada 27 daerahnya dilanda banjir kilat ketika hujan lebat memusnahkan ribuan rumah, menyekat jalan raya dan menenggelamkan tanaman. 


“Setakat ini 81 maut dalam kejadian bot karam atau lemas ketika cuba menyelamatkan diri daripada air deras dan juga dalam banjir lumpur,” kata pihak berkuasa negeri. 


Kenyataan menambah, anggaran 2.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal dengan ribuan rumah musnah dan lebih 500,000 penduduk ditempatkan di pusat perlindungan. 


“Kem bantuan sementara dibuka untuk penduduk, sementara ramai lagi terpaksa mendapatkan perlindungan di kawasan tinggi dan khemah,” kata menteri kesihatan Assam Himanta Biswa Sarma kepada AFP. 


Pihak berkuasa berkata lebih 70 peratus Taman Negara Kaziranga, terkenal dengan harimau, badak sumbu bertanduk satu dan gajah, ditenggelami air. 


Perdana Menteri Manmohan Singh dan presiden parti Kongres Sonia Gandhi melakukan tinjauan udara dan memeriksa kerja bantuan. 


Monsun dari Jun hingga September penting untuk petani namun turut meragut nyawa, akibat banjir setiap tahun. - AFP

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com