expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday 19 July 2012

FAM beri jaminan adili dengan telus




Kes ‘kekasaran melampau’ dua pemain Selangor


Kuala Lumpur: Kes ‘kekasaran melampau’ dilakukan dua pemain Selangor - Amri Yahyah dan Bunyamin Umar - terhadap penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar pada Liga Super 29 Jun lalu akan diadili dengan telus tanpa dipengaruhi mana-mana pihak termasuk media. Jaminan itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufik Abdul Razak, semalam. 


Beliau berharap Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mahu pun Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan penyokong masing-masing menerima keputusan dibuat jawatankuasa itu dalam perbicaraan yang dijangka diadakan pada awal bulan depan. 


“Jangan risau, keputusan kami nanti bergantung kepada penelitian rakaman video insiden membabitkan ketiga-tiga pemain berkenaan. Keputusan yang dibuat adalah hasil perbincangan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib nanti. Ia akan dinilai dengan seadilnya,” katanya. 


BH Sukan difahamkan, perbicaraan itu tertumpu kepada insiden Amri menumbuk kemaluan Ghaddar dan Bunyamin menumbuk muka penyerang dari Lubnan itu kerana jawatankuasa hanya menerima aduan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). 


Insiden membabitkan kapten Perak, Shahrulnizam Mustapha bersama Ghaddar, tiada dalam senarai. 


“Saya belum tetapkan lagi tarikh perbicaraan. Kita tidak boleh buat minggu depan kerana Amri dikhabarkan menyertai Piala Java sehingga 29 Julai. 


“Mungkin pada awal bulan depan selepas pemain itu pulang daripada menyertai kejohanan berkenaan,” katanya. Ditanya sama ada Ghaddar yang dilihat melakukan provokasi terlebih dahulu ketika ketiga-tiga insiden itu, Taufik berkata: “Tunggulah perbicaraan nanti. Saya tak boleh komen sekarang.”

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com