expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 8 July 2012

Jepun berbincang mahu beli gugusan pulau dipertikai di Laut China Timur





TOKYO: Perdana Menteri Jepun semalam berkata, kerajaan kini berunding untuk membeli pulau di Laut China Timur yang menjadi pusat pertikaian dengan China.


Walaupun ia mungkin meningkatkan ketegangan dengan Beijing, Yoshihiko Noda berkata, langkah itu dibuat bagi mengukuhkan kawalan Jepun ke atas pulau berkenaan.


Dikelilingi kawasan perairan yang kaya dengan ikan, gugusan pulau tidak berpenghuni itu dinamakan Senkaku di Jepun, manakala Beijing menamakannya sebagai Diaoyu.


Selain Jepun dan China, pulau itu turut dituntut Taiwan dan sering menjadi pusat ketegangan hubungan diplomatik negara terbabit. Kata Noda, tidak dapat dipertikaikan bahawa Jepun menguasai gugusan pulau itu berdasarkan bukti sejarah dan undang-undang antarabangsa. “Kerajaan cuba membeli pulau itu daripada seorang warga Jepun sebagai pilihan meningkatkan pertahanan negara.


 “Kami berunding dengan pemiliknya dan pada ketika sama, mengkaji kaedah bagi meneruskan kawalan ke atasnya secara aman dan stabil,” katanya. Beijing sebelum ini berkata, semua langkah sehala diambil Jepun ke atas pulau berkenaan adalah haram dan tidak sah.


Jepun pula mendakwa, gugusan lima pulau itu dipajakkan secara percuma 100 tahun lalu dan empat daripadanya dijual kepada pemilik persendirian.


Pulau kelima, kata Tokyo, kekal menjadi milik Jepun. - AP

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com