expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday 5 July 2012

Jerman digesa lindungi amalan khatan anak lelaki




COLOGNE: Pemimpin masyarakat Islam Jerman semalam menggesa anggota Parlimen negara itu meluluskan undang-undang yang melindungi hak untuk mengkhatankan kanak-kanak lelaki Muslim.


Gesaan itu dibuat selepas sebuah mahkamah memutuskan mengharam amalan itu apabila dilakukan atas alasan agama.


Kira-kira 20 pertubuhan mewakili kebanyakan empat juta penganut Islam Jerman berkata, Parlimen perlu memastikan kebebasan beragama dengan menghapuskan ketidaktentuan undang-undang berhubung amalan berkhatan sejak mahkamah di Cologne mengumumkan keputusannya 26 Jun lalu.


“Kami menggesa Parlimen Jerman dan kerajaan bertindak secepat mungkin untuk mengakhiri ketidaktentuan undang-undang dan mewujudkan perundangan yang membolehkan kanak-kanak lelaki Islam dikhatankan,” kata Gurcan Mert, pemimpin Kesatuan Islam Keturunan Turki yang bercakap bagi pihak kumpulan lain.


Dalam keputusan yang turut mencetuskan kemarahan di kalangan kumpulan masyarakat Yahudi di negara itu dan berkemungkinan menjadi contoh dalam kes perundangan lain, mahkamah di bandar barat Jerman ini menolak tindakan seorang doktor yang mengkhatankan seorang budak Islam berusia empat tahun atas kehendak ibu bapanya.


Hakim mendapati hak asasi kanak-kanak itu mengatasi hak ibu bapanya.


“Kebebasan beragama ibu bapa itu dan hak mereka untuk mendidik anak mereka tidak boleh diterima sehingga kanak-kanak itu boleh memutuskan sendiri sama ada untuk berkhatan atau tidak,” kata mahkamah.


Bagaimanapun, ia berkata, berkhatan tidak diharamkan sekiranya dilakukan atas alasan perubatan.


“Keputusan itu memberi tamparan hebat kepada integrasi,” kata Ali Kizilkaya, jurucakap Majlis Penyelarasan Muslim di Jerman pada sidang akhbar sama.


“Jerman adalah negara yang berdasarkan pemerintahan mengikut undang-undang, khususnya kebebasan beragama, adalah amat penting. Bagi saya, pengharaman terhadap berkhatan tidak bagus untuk negara ini dan imej Jerman,” katanya. - Reuters

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com