expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, 2 July 2012

Musim durian!




OH ya! Sekarang musim durian di Malaysia. Jadi, saya ingin berkongsi kisah makan durian dan fakta mengenai raja buah tempatan ini.


Keluarga saya agak terkejut apabila saya turut memakan seulas durian. Justeru, keluarlah kata-kata seperti, “Boleh ke makan durian? Tak tinggi kolesterol ke?” 


Sebenarnya, tidak salah makan durian cuma perlu berpada-pada. Seperti saya juga, ketika mula mengenali durian, saya berasa buah ini mempunyai banyak keburukan terutama baunya, walhal, ia mempunyai banyak kebaikan. 


Justeru, saya ingin berkongsi beberapa fakta mengenai durian yang digelar raja kepada segala buah ini. 


 

10 fakta menarik mengenai durian:


1. Tinggi kalori? Ramai yang menganggap durian mempunyai kandungan kalori (kcal) yang tinggi dan menggemukkan. Tahukah anda, seulas durian hanya mempunyai 50 kcal? Bagi saya, kandungan kalori itu tidak begitu tinggi.


2. Tinggi kolesterol? Durian atau sebarang jenis buah sekali pun tidak mengandungi kolesterol. Kolesterol cuma datang daripada sumber haiwan dan bukannya tumbuhan. 


3. Tiada nilai nutrisi? Durian kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral seperti antioksidan vitamin C, B kompleks dan potassium (penting untuk kawalan bendalir badan, mengawal denyutan jantung dan tekanan darah). Durian juga mengandungi kalsium dan fosforus. 


4. Tinggi lemak? Satu ulas durian mempunyai satu hingga dua gram lemak dan ia bukan lemak tepu. 


5. Tinggi gula? Satu ulas durian mempunyai kira-kira 10 gram gula. Masih tinggi? Itu bergantung kepada jumlah kuantiti pengambilan anda. Jika anda makan dua hingga tiga ulas, nilainya masih kurang daripada satu tin minuman berkarbonat. 


6. Panaskan badan? Memang. Buah durian mempunyai kualiti yang boleh memanaskan badan. Atas sebab itu, kita diingatkan memakan durian secara berpada-pada. Durian boleh menyebabkan demam sekiranya di makan terlalu banyak. Lebih-lebih lagi bagi pesakit kencing manis atau tekanan darah tinggi. 


7. Tidak sesuai untuk pesakit kencing manis? Memang betul tapi itu bukan soal durian semata-mata kerana mereka yang mempunyai penyakit kencing manis sememangnya harus mengawal pengambilan gula dalam makanan atau minuman mereka. 


8. Kurangkan tekanan? Itu bergantung tetapi durian mengandungi asid amino dikenali sebagai tryptophan yang membantu meningkatkan keluaran hormon serotonin yang menyebabkan kita mengantuk. Justeru, anda akan lebih senang tidur, ringan dan tenang. 


9. Tingkatkan nafsu seks? Betul! Itu berbalik kepada kualiti panaskan badan tadi yang bertindak untuk meningkatkan peredaran darah. 


10. Jangan makan berlebihan? Memang betul. Tapi sekali lagi, itu bukan durian semata-mata tetapi untuk segala-galanya. Bagi saya, satu atau tiga ulas sekali makan sudah memadai.


 



Selain itu, saya juga ingin berkongsi mengenai pemilihan kudapan yang bukan saja mudah malah seimbang dan mempunyai jumlah 300 kalori (kcal). Dalam soal diet, saya selalu tekankan pentingnya makan paling kurang lima kali sehari iaitu dengan mengambil sarapan, kudapan, makan tengah hari, kudapan dan makan malam. 


Kebiasaannya, orang ramai tiada masalah mengambil sarapan, makan tengah hari dan makan malam tetapi mungkin kurang biasa dalam pemilihan kudapan. 


Oleh itu, ikuti langkah berikut dalam memilih kudapan untuk waktu pagi dan petang. 



  
Sumber karbohidrat


Pastikan ada sumber karbohidrat yang baik dan bersih (kurang minyak) seperti roti dan biskut.





Sumber protein


Wajib ada sumber protein seperti telur, tuna, susu dan soya.


Jumlah kalori


Nilai kalori kudapan bergantung kepada keperluan kalori seharian (DCR) anda. Katakan ia 2,000 kcal, jadi anda perlu menganggarkan pengambilan untuk setiap hidangan, termasuk kudapan sebanyak 400 kcal.





Serat


Hendak mengawal nafsu makan? Pastikan adanya serat seperti oat, bijirin penuh dan roti perang.


 


 
Mudah dan praktikal


Pastikan pilihan kudapan itu mudah diamalkan, juga ketika di pejabat. Paling senang kalau ia boleh disimpan di dalam laci meja dan tidak mengambil masa yang lama untuk dihidang dan dimakan.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com