expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday 19 July 2012

Olahragawan Sukma dapat insentif RM10,000




KUALA TERENGGANU - Olahragawan Sukan Malaysia (Sukma) XV, Abdul Mubin Rahim memperoleh kegembiraan berganda apabila kerajaan Terengganu mengumumkan insentif tambahan sebanyak RM10,000 sebagai menghargai kejayaannya.


Atlet angkat berat itu berkata, dia secara peribadi sangat bangga dengan kejayaannya dan bersyukur dengan pemberian insentif khas itu, yang diumumkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.


"Saya bersyukur kerana dapat menyumbang emas kepada kontinjen Terengganu namun apa yang lebih menggembirakan, saya berjaya memecah rekod kebangsaan dalam acara angkat berat yang mana ia merupakan misi besar saya pada Sukma kali ini.


"Jumlah imbuhan yang diberikan amat besar dan saya berhasrat menyimpan wang tersebut bagi kegunaan masa hadapan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama Menteri Besar dan barisan exco di Wisma Darul Iman, semalam.


Atlet kelahiran Seberang Takir berusia 21 tahun itu, merupakan anak keenam daripada 13 beradik dan mula menceburi sukan angkat berat sejak dari zaman persekolahan.


"Di sebalik kejayaan saya, peranan jurulatih amat penting dalam menguruskan jadual latihan serta banyak memberi dorongan kepada saya melakukan yang terbaik bagi mengharumkan nama negeri.


"Kata-kata semangat daripada ibu juga adalah pencetus kejayaan saya ini.


"Walaupun keluarga tidak dapat hadir menemani saya di Pahang, saya sentiasa menghubungi ibu untuk mendapatkan lebih motivasi," katanya.


Abdul Mubin yang memenangi emas kategori berat badan 77kg, dipilih Olahragawan Sukma XV apabila mencipta rekod baru kebangsaan dengan angkatan 171kg dalam acara clean & jerk, memadamkan rekod lama 170kg bekas atlet negara, Mohd. Hidayat Hamidon pada Kejohanan Kebangsaan di Pulau Pinang pada 2003.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com