expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday 20 July 2012

Pembantu Hillary Clinton ‘orang’ Ikhwanul Muslim















Hillary Clinton dilaporkan amat menyayangi Huma dan menganggap wanita itu seperti anggota keluarganya sendiri.


Washington: Lima ahli Kongres Republikan termasuk wakil Minnesota, Michele Bachmann menuduh Timbalan Ketua Staff dan pembantu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton, Huma Abedin, 36, seorang Muslim, mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslim. Beliau juga didakwa cuba mempengaruhi ketuanya, Hillary Rodham Clinton mengubah dasar Amerika Syarikat. Bachmann dan empat anggota Kongres lain pertama kali membuat tuduhan terhadap Abedin dalam satu surat kepada Jabatan Negara bulan lalu. 


Sebagai bukti dakwaan beliau, Bachmann memetik satu artikel Kajian Undang-Undang Universiti Brigham Young menyebut bahawa satu pertubuhan diasaskan bapa Abedin beberapa tahun lalu menerima sokongan daripada sebuah kumpulan yang mempunyai hubungan sejarah dengan Ikhwanul Muslim.


Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan bulan lalu selepas Mohamed Morsi dari Ikhwanul Muslim dilantik sebagai presiden baru Mesir, menggesa pemimpin Islam menghormati hak wanita dan mengekalkan keamanan dengan Israel.














 

Ahli Kongres Republikan dakwa Huma cuba pengaruh dasar AS


Ikhwanul Muslim adalah sebuah pergerakan politik Islam diasaskan di Mesir pada 1928 dan penentang kuat beberapa kerajaan Asia Barat yang disokong Amerika Syarikat, terutama Israel dan rejim sekular terdahulu di Mesir dan Tunisia.


Bagaimanapun dalam masa beberapa jam, calon presiden Republikan 2008, Senator John McCain mempertahankan kesetiaan Abedin dan reputasi profesional beliau di dewan Senat. 


“Jarang saya datang ke institusi ini untuk membincangkan individu tertentu,” kata McCain dalam ucapan pembukaannya.


“Tetapi saya faham betapa pedih rasanya apabila karektor, reputasi dan patriotisme seseorang diserang tanpa mengambil kira fakta atau keadilan. Ia adalah sebab saya bangkit hari ini untuk bercakap mempertahankan Huma Abedin,” katanya.


Abedin dilahirkan di Kalamazoo, Michigan pada 1976 tetapi berpindah bersama keluarganya ke Arab Saudi ketika berusia dua tahun. Bapanya dilahirkan di India ketika pemerintahan British manakala ibunya adalah seorang rakyat Pakistan. - AFP/Agensi

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com