expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 9 July 2012

Suara kecewa sikap FAM kian lantang




Rentetan keengganan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar bantahan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung isu lebih umur pemain Myanmar, suara penyokong yang tidak puas hati dengan keputusan itu kian lantang.


Paling ketara, sekumpulan 30 hingga 40 orang penyokong setia Harimau Malaya diwakili orang-orang kuat Ultras Malaya sanggup menunggu sehingga Kongres FAM di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur kelmarin berakhir untuk menyerahkan memorandum supaya Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah meletak jawatan. “Jika tidak kerana bantuan media kita, siapa lagi nak bantu dedahkan penipuan Myanmar. Tapi FAM hanya mahu rujuk data pemain dalam sistem AFC saja. 


“Sudah tentu Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Remaja AFC, Zaw Zaw (yang juga Presiden Persekutuan Bola Sepak Myanmar) sudah menyembunyikan segala fakta usia sebenar untuk selamatkan pasukan mereka.


“Tapi FAM sendiri sudah rosakkan semangat kita semua. Kami rasa Datuk Azzuddin Ahmad (Setiausaha Agung FAM) gagal mengendalikan isu ini dengan baik dan wajar diganti dengan individu berkredibiliti,” kata wakil Ultras Malaya, Lekir Ahmad.


Pendapat sama turut dikongsi beberapa wakil kelab penyokong neger-negeri seluruh Malaysia.


“FAM buat keputusan yang tidak rasional. Pengajaran perlu diberikan kepada Myanmar supaya penipuan umur tidak berulang. FAM pernah potong mata skuad Piala Presiden Kelantan kerana turun pemain tak sah. Kenapa mereka biar saja dalam kes ini,” kata Pengerusi Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Mohd Yahya Jamada Ali. 


Pengerusi Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah, Nor Asmadi Hamzah pula berkata: “Ini membuktikan FAM tidak serius memperjuangkan hala tuju bola sepak negara. Sikap ini hanya akan menyebabkan industri bola sepak negara statik dan hanya gah di peringkat liga domestik saja. Moral para pemain juga pasti terjejas.”


Sementara itu, jurucakap sekumpulan penyokong di Melaka, Rosli Murad menambah: “Memang kami kesal dengan tindakan FAM. Harap pada masa depan situasi seperti ini harus ditangani dengan bijak kerana bantahan rasmi adalah pentas terbaik mengatasi kekusutan dan pertikaian berpanjangan.”


Bagi Pengasas Laman Web Penyokong Bola Sepak Selangor (SelangorFC.com), Amir Sharifuddin Samad: “FAM tak boleh duduk diam saja. Walaupun tak kemuka bantahan, teruskan usaha untuk mencari juga bukti-bukti kukuh kerana hak skuad B-22 kita perlu diperjuangkan.”

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com