expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 9 July 2012

Terengganu terus mengganas

















PENYERANG Terengganu, Mohd. Asysham Asri (tengah) dihalang pertahanan pasukan Pulau Pinang pada perlawanan peringkat kumpulan di padang MPK, Kuantan semalam. 


TERENGGANU semakin berada di landasan tepat untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma).

 
Pada temasya edisi ke-15 ini semalam, Sang Penyu mudah menjinakkan Pulau Pinang 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A, sekali gus menyambar slot ke pusingan suku akhir.


Dalam aksi di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2, gol-gol Terengganu diledak oleh Mohd. Amirul Syahmi As'hari pada minit ke-23 dan 40 sebelum Mohd. Fahmi Izuddin melengkapkan kemenangan bergaya juara bertahan itu pada penghujung babak kedua.


Kejayaan meraih tiga mata berharga itu menyaksikan Sang Penyu kembali berada di landasan sebenar mempertahankan kejuaraan selepas dikejutkan tuan rumah, Pahang 0-3 dalam aksi pembukaan kumpulan sebelum ini.


Namun, Terengganu yang muncul naib juara kumpulan dilihat menempah laluan sukar apabila bakal berdepan juara Kumpulan D, Wilayah Persekutuan dalam aksi suku akhir esok.


"Memang hasrat seluruh peminat Terengganu mahu melihat kami membawa pulang pingat emas sekali lagi kali ini.


"Meskipun sedar Wilayah Persekutuan dilihat antara salah satu pasukan pilihan pada kejohanan kali ini kerana belum kalah dalam sebarang perlawanan, saya anggap peluang bagi semua pasukan adalah sama rata pada saingan kalah mati kelak," kata pengurus Terengganu, Marzuki Sulong.


Dalam pada itu, Pahang muncul juara Kumpulan A apabila menjinakkan Sarawak 2-1 di Stadium Darul Makmur dalam satu lagi aksi kumpulan semalam.


Abdul Malik Mat Arif meletakkan Pahang di depan seawal minit kelima sebelum penyerang Sarawak, Richard Sawing Bilong menyamakan kedudukan empat minit kemudian.


Mohd. Shafie Zaharie akhirnya muncul wira tuan rumah apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-57.


Dalam aksi suku akhir nanti, Pahang bakal berdepan naib juara Kumpulan D, Negeri Sembilan.


No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com