expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday 20 July 2012

T-Team nak pinjam pemain hadapi Piala Malaysia




KUALA TERENGGANU - T-Team berhasrat meminjam pemain dari pasukan lain bagi membantunya menghadapi saingan Piala Malaysia.


Pengendalinya Yunus Alif berkata pihaknya sedang mengenal pasti beberapa pemain untuk diserapkan ke dalam skuadnya.


Beliau berkata T-Team antara lain telah terlepas peluang untuk mendapatkan khidmat pemain Sabah, Rozaimi Abdul Rahman kerana terlebih dahulu diambil oleh Selangor.


"Kita juga terlepas beberapa pemain yang lincah atas padang di mana mereka terlebih dahulu disambar oleh pasukan seperti juara Liga Super, Kelantan dan beberapa pasukan negeri lain," kepada Bernama.


Namun beliau masih berminat dengan pemain Sabah di mana beliau akan menyaksikan perlawanan Kedah menentang Sabah di Melaka malam ini, untuk menilai pemain Sabah yang belum dilamar oleh pasukan lain.


Perlawanan play-off tersebut adalah bagi menentukan slot ke Liga Super musim depan.


"Kita akan tengok kalau-kalau ada pemain yang kita berkenan. Kalau tidak ada juga, kita terpaksalah guna pemain yang ada. Pemain kita pun apa kurangnya, cuma kalau boleh kita mahu perhebatkan barisan kesebelasan utama kita," katanya.


Yunus berkata T-Team mahu memperbaiki kedudukannya dalam saingan Piala Malaysia musim ini, setelah diketepikan oleh Negeri Sembilan untuk melangkah kaki ke perlawanan akhir musim lalu.


"Hari ini kita dah mula latihan dan pada bulan puasa nanti, kita akan buat  latihan satu sesi sahaja selain mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan negeri lain," katanya.


T-Team menamatkan saingan Liga Super dengan menduduki tangga ke tujuh musim ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com