BHARTI berdiri di luar
tandas di rumah mertuanya di Kampung Vishnupur Khurd, Uttar Pradesh pada Rabu
lalu.
NEW DELHI - Seorang isteri, Priyanka Bharti diberi sambutan
meriah pada Rabu lalu semasa dia pulang semula ke rumah mertuanya selepas
melarikan diri kerana ketiadaan tandas di Kampung Vishnupur Khurd, Uttar
Pradesh, India.
Bharti turut merasmikan pembukaan sebuah tandas moden di
rumah mertuanya itu yang turut disaksikan sejumlah orang.
Tandas itu turut dihiasi dengan bunga.
Pembinaan tandas itu dikendalikan pihak pengurusan pertubuhan
perkhidmatan sosial antarabangsa, Sulabh.
Tandas itu dibina selepas berita Bharti melarikan diri
tersebar di India.
Pertubuhan itu turut membina sebuah bilik mandi di rumah
mertuanya.
Pengasas pertubuhan itu, Bindeshwar Pathak turut hadir pada
majlis tersebut.
Sebelum ini dia meninggalkan rumah mertuanya selepas empat
hari menginap kerana malu jika ditanya oleh keluarganya tentang lokasi tandas
di rumah itu.
Bharti, 19, melarikan diri semasa keluarganya yang datang
dari sebuah kampung lain mahu melawat dia di rumah mertuanya itu.
"Saya berpendapat saya tidak boleh tinggal di sebuah
rumah yang membolehkan orang ramai mungkin melihat saya membuang air besar di
luar rumah dengan cara yang tidak bersih," katanya kepada agensi berita
AFP.
Dia berasa malu apabila terpaksa membuang air besar di
kawasan lapang di luar rumah kerana ketiadaan tandas.
Bharti berkahwin dengan suaminya, Amarjeet Kumar, 20, pada
tahun 2007.
Bagaimanapun, dia hanya mula tinggal di rumah mertuanya pada
April lalu selepas umurnya mencecah 19 tahun.
Suami Bharti menganggap perkara yang paling penting buatnya
ialah kepulangan isterinya.
"Saya malu apabila dia bertanya di mana tandas dan kami
perlu memberitahunya untuk ke luar rumah (membuang air besar).
"Kini, tandas itu telah dibina dan kami perlu menjaga
dan menggunakannya," kata Amarjeet. - Agensi
No comments:
Post a Comment