expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 15 July 2012

Terengganu satu langkah lagi juara Sukma ke-15























Jadual kutipan pingat Sukma ke-15 setakat 14 Julai.


TERENGGANU selangkah merangkul gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 apabila mendominasi pungutan pingat pada hari ke-14 temasya itu dengan 53 emas, 23 perak dan 25 gangsa.


Dua daripada enam pingat emas kontinjen Terengganu hari ini diperoleh dalam acara pencak silat menerusi Normanjalina Madon (Kelas A 45-50kg Puteri) dan Norfarana Mohd Kamil (Kelas Bebas 75-90kg Puteri).


Skuad basikal Terengganu turut menyumbang dua pingat emas dalam acara Kriterium 54.4km wanita menerusi Zahraa Anuawar dan Sofian Nabil Omar Mohd Bakri (Kriterium 81.6km lelaki).


Baki dua lagi emas Terengganu diraih Nurul Iryani Muda (Compound perseorangan wanita pusingan olimpik) dan petanque lelaki triples (Ahmad Amirul Ashraf Ahmad Yani/Mohamad Adri Abdul Jalil/Syed Akmal Fikri Syed Ali).


Kontinjen Selangor yang menghuni tangga kedua keseluruhan menggumpul 45 pingat emas, 48 perak dan 51 gangsa.


Dalam saingan hari ini, Selangor hanya mengutip dua pingat emas dalam acara pencak silat menerusi Nor Afizah Yajis (Kelas E 65-70kg Puteri) dan Partini Sakrikin Adnan (Kelas B 50-55kg Puteri).


Tuan rumah Pahang menduduki tangga ketiga dengan menggumpul 40 pingat emas, 32 perak dan 31 gangsa.


Acara pencak silat menjadi penyumbang utama kontinjen Tok Gajah dengan enam emas menerusi Roizaida Zailudin (Kelas C 55-60kg Puteri), Mohamed Fikry Mohamed Noh (Kelas A 45-50kg Putera), Muhammad Fahmi Romli (Kelas D 60-65kg Putera), Mohad Al-Jufferi Jamari (Kelas E 65-70kg Putera), Muhammad Saiful Syazwan Rahmat (Kelas C 55-60kg Putera), Mohd Khairul Izzha Ahmad (Kelas Bebas 95-110kg Putera).


Sementara itu, ibu segala pingat pada temasya dwi tahunan itu, iaitu bagi acara bola sepak menjadi milik Sabah apabila menumpaskan Perak 3-0 pada perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur, malam ini.


Sabah menamatkan kemarau selama 15 edisi Sukma apabila membawa pulang pingat emas manakala Perak terpaksa berpuas hati di tempat kedua.


Pingat gangsa milik Wilayah Persekutuan yang menundukkan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan penentuan tempat ketiga, yang berlangsung pada sebelah petang tadi. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com