expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 18 July 2012

Terengganu umum ‘bonus’ juara Sukma


















Keriangan terserlah pada wajah kontinjen Terengganu apabila dinobatkan Juara Keseluruhan Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 pada majlis penutupan sukan itu- foto Bernama


KUALA TERENGGANU- Baru sahaja dinobatkan sebagai juara Sukan Malaysia (Sukma) empat kali berturut-turut, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sekali lagi membuat kejutan dengan pengumuman penubuhan Akademi Ragbi bagi rakyat negeri ini.


Menurutnya, Kerajaan Negeri melihat potensi besar sukan itu dan kini sedang mengintai jurulatih dari New Zealand.


“Baru-baru ini saya sudah berbincang dengan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand Ke Malaysia untuk membantu Terengganu mencari jurulatih ragbi yang bersesuaian dari negara itu.


“Kalau boleh kita mahu dapatkan bekas pemain All Blacks kerana kita akan tubuhkan akademi, melibatkan potensinya untuk dikembangkan. Sukan ragbi juga kuat, cuma sekarang kita perlukan jurulatih yang berwibawa.


“Seboleh-bolehnya kita mahu secepat mungkin bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, terpulang kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk menguruskannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Robocon 2012 peringkat Kebangsaan yang diadakan di Stadium Negeri di sini, semalam.


Kata Ahmad, Terengganu sudah mendapatkan khidmat beberapa jurulatih berpengalaman bagi sukan berpotensi seperti badminton (Indonesia), squash (Pakistan), takraw (Thailand) dan taekwondo (Korea).


Sehingga kini, Terengganu sudah mempunyai Akademi Bola Sepak dan Akademi Badminton bagi mencari bakat muda untuk diketengahkan.


“Terengganu merupakan negeri yang mengeluarkan perbelanjaan paling besar untuk pembangunan sukan. Bagi Sukma sahaja, kita membelanjakan RM7 juta, untuk MSN pula sebanyak RM12 juta,” katanya.


Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai pencapaian keseluruhan Sukma kali ini, Ahmad dengan nada ceria berkata, beliau cukup berpuas hati.


“Kita muncul juara bagi tujuh acara iaitu takraw, olahraga, basikal, boling padang, hoki lelaki dan wanita. Malah ada lagi acara sukan yang dilihat boleh diperbaiki dan diberikan perhatian,” katanya.


Sementara itu, ketika tiba di sempadan Terengganu, iaitu Kemaman-Kuantan pada jam 11.30 pagi semalam, Ahmad mengisytiharkan cuti peristiwa sehari pada Ahad ini bagi negeri ini, sempena kejayaan kontinjen Terengganu pada Sukma ke-15.


Terengganu yang mengutip 62 emas, 24 perak dan 31 gangsa muncul juara Sukma Pahang 2012, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang diraih sejak Sukma.


Terengganu 2008, Sukma Melaka 2010 dan Sukma Kuala Lumpur 2011.


Sementara itu, jika mengikut insentif yang diwujudkan Kerajaan Negeri sejak Terengganu menjadi tuan rumah Sukma pada 2008, pemenang pingat emas akan menerima tunai RM5,000; perak, RM3,000 dan gangsa RM2,000.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com