expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 18 July 2012

Komentar: Terengganu sah 'Raja Mini Olimpik Malaysia'




Selepas 10 hari gegak gempita, Sukan Malaysia (SUKMA) XV Pahang akhirnya dilabuhkan tirainya kelmarin dan sekali lagi Terengganu membuktikan mereka ‘Raja Mini Olimpik Malaysia’ apabila buat kali keempat berturut-turut berjaya menjulang mahkota kejuaraan keseluruhan. 


Kejayaan Terengganu mempertahankan mahkota kejuaraan sejak menjulangnya pertama kali di laman sendiri pada 2008 patut dicemburui negeri lain dan mereka tidak perlu segan mencungkil rahsia di sebalik kejayaan membanggakan itu. Sudah tentu, kejayaan itu tidak datang dengan mudah bak kata pepatah ‘yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’, sebaliknya menerusi perancangan teliti dan tersusun selain kerja keras serta komitmen jitu semua pihak dalam melaksanakan program pembangunan sukan jangka panjang bagi memenuhi misi serta sasaran ditetapkan. 


Kejayaan itu juga sudah tentu hasil sokongan penuh kerajaan negeri yang tidak lokek dalam mengeluarkan perbelanjaan besar memastikan mereka bukan saja mampu cemerlang dalam bidang pelajaran, tetapi juga sukan dengan impian besar menjadikan Terengganu ‘kilang’ atlit terbesar di negara ini. 


Namun, tidak semua perbelanjaan besar itu mampu menjamin kejayaan seperti penganjuran SUKMA kali ini yang bernilai keseluruhan RM238 juta. Ini kerana masih terdapat cacat cela dan rungutan kedengaran ketika Pahang mengukir nama mengelolakan temasya itu buat kali kedua selepas 1996. 


Kegagalan penganjur dalam memenuhi piawaian penyediaan papan terjun yang pendek daripada ukuran sebenar menyebabkan kekalutan di Kolam Renang Wisma Belia yang terakhir disiapkan dengan kos RM21 juta dan lebih memalukan ia 'bocor' tatkala hujan menyebabkan pusat media 'banjir'. 


Masalah penyediaan makanan masih menjadi isu dengan kes keracunan makanan melanda skuad hoki wanita dan gara-gara gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, lima pembekal makanan yang dilantik ditamatkan kontrak. 


Tidak cukup dengan itu, masalah keputusan pertandingan yang lewat dan jadual pertandingan tidak lengkap dan tersalah masa dan pemenang turut menjejaskan kelancaran serta kesempurnaan temasya kali ini. 


Seperkara menarik, wartawan yang membuat liputan mendapat pengalaman baru apabila terpaksa berdikari dengan memfotostat sendiri senarai atlit bertanding. 


Namun di sebalik semua itu, SUKMA XV kali ini juga ada positifnya apabila tidak ada lagi rungutan di kalangan kontinjen yang bertanding mengenai pemarkahan bagi sukan subjektif seperti silat, wushu, taekwondo dan karate yang mencetuskan kontroversi seperti sebelum ini selain tindakan penganjur yang menempatkan atlit dan pegawai dekat gelanggang pertandingan jelas memudahkan mereka untuk ke tempat pertandingan. 


Dari segi prestasi atlit, temasya kali ini jelas merosot dengan hanya tiga rekod kebangsaan dan 33 rekod temasya yang berjaya dileburkan berbanding 14 rekod kebangsaan dan 67 rekod kejohanan dalam edisi di Melaka 2010. 


Namun, Majlis Sukan Negara (MSN) memberi alasan penurunan itu disebabkan perubahan umur atlit yang bertanding daripada 23 kepada 21 pada temasya kali ini. 


Agak pelik dengan tindakan beberapa atlit olahraga yang sudah layak beraksi dalam Kejohanan Remaja Dunia di Barcelona dan pemain skuasy yang sepatutnya beraksi dalam kejohanan Remaja Dunia di Qatar yang berlangsung pada waktu yang sama, tetapi sanggup melepaskan peluang keemasan mengukur keupayaan dan bersaing dengan atlit handalan dunia lain dengan memilih mewakili negeri masing-masing. 


Sampai bila kita harus menjadi jaguh kampung tetapi atlit terbabit tidak boleh dipersalahkan 100 peratus kerana mungkin dipaksa oleh negeri masing-masing yang menagih khidmat mereka untuk memenangi emas selain ganjaran kemenangan turut menjadi daya penarik untuk mereka melepaskan peluang keemasan beraksi dalam kejohanan remaja dunia itu. 


Apa pun, walaupun temasya ini sudah berusia 26 tahun, ia masih relevan untuk dijadikan pentas persaingan di kalangan atlit muda di samping menjadi pemilihan atlit negara untuk kesinambungan kejayaan sukan negara.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com