expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 18 July 2012

Terengganu kuasa sukan negara
















KONTINJEN Terengganu diraikan oleh para penyokong mereka sebaik tiba di Kuala Terengganu semalam.


KONTINJEN Terengganu terus mengukuhkan reputasi sebagai kuasa sukan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma).


Kejayaan muncul juara keseluruhan Sukma ke-15 Pahang yang berakhir kelmarin membuktikan betapa Terengganu teguh berdiri di puncak kemasyhuran.


Dengan status selaku juara Sukma buat kali keempat berturut-turut, kejayaan penuh gemilang yang dilakar kontinjen Terengganu itu pasti dicemburui barisan pencabar mereka.


Apa tidaknya, kontinjen Terengganu yang sebelum ini dianggap 'kerdil' dalam arena sukan tanah air tiba-tiba tampil sebagai 'gergasi' yang sukar untuk ditumbangkan.


Sebagai rekod, Terengganu muncul juara Sukma buat kali pertama pada edisi 2008 ketika menjadi tuan rumah temasya tersebut, sekali gus menamatkan dominasi Selangor yang cukup digeruni suatu ketika dahulu.


Beraksi di laman sendiri pada 2008, kontinjen Terengganu ternyata mengambil segala kelebihan yang ada untuk membolot 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.


Momentum itu diteruskan pada Sukma 2010 di Melaka yang menyaksikan kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan selaku juara apabila memungut 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.


Kontinjen Terengganu terus berada pada trek kejayaan apabila menjuarai temasya Sukma buat kali ketiga berturut-turut selepas membawa pulang 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa pada edisi 2011 di Kuala Lumpur.


Bagi edisi Sukma kali ini, Terengganu tampil lebih bergaya apabila membawa pulang 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa, seterusnya meninggalkan Selangor di tempat kedua dengan catatan 47 emas, 54 perak dan 60 gangsa.


Kejayaan merangkul 62 emas itu merupakan pencapaian terbaik Terengganu setakat ini biarpun tuan rumah Sukma ke-15, Pahang tidak mempertandingkan beberapa acara seperti kenu dan mendayung yang dianggap 'kekuatan' kontinjen Terengganu Hanelang itu.


Justeru, ramai pemerhati serta penggiat sukan tanah air tertanya-tanya, apakah rahsia di sebalik kejayaan kontinjen Terengganu itu sehingga mampu memegang status juara Sukma empat edisi berturut-turut.


Ketika diajukan persoalan tersebut, Ketua Kontinjen Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail lebih cenderung untuk menjawab prestasi anak-anak buahnya yang beraksi pada temasya Sukma kali ini.


"Bagi tiga edisi Sukma yang lalu (2008, 2010 dan 2011), saya tidak boleh beri komen kerana ketika itu, bukan saya yang menjadi Ketua Kontinjen Terengganu.


"Bagaimanapun, bagi Sukma di Pahang, sudah semestinya komitmen jitu daripada semua pihak yang terlibat menjadi kunci utama kejayaan kontinjen Terengganu muncul juara.


"Pada masa yang sama, pembangunan jangka panjang dan perancangan yang teliti juga menjadi antara rahsia kejayaan Terengganu muncul juara Sukma kali keempat berturut-turut," kata Wan Nawawi kepada Kosmo! semalam.


Mengulas lanjut, Wan Nawawi berkata, komitmen tinggi daripada seluruh ahli kontinjen melibatkan para atlet, jurulatih serta pegawai pasukan menyumbang kepada kejayaan Terengganu pada Sukma kali ini.


"Berdasarkan penilaian saya, setiap atlet termasuk para jurulatih dan pegawai sentiasa bekerja keras bagi memburu kejayaan buat kontinjen Terengganu.


"Maka tidak mengejutkan apabila segala penat lelah mereka selama ini akhirnya dibayar dengan kejayaan. Saya anggap kejayaan ini adalah anugerah Illahi," ujar beliau.


Menurut Wan Nawawi, sebagai Ketua Kontinjen, beliau sentiasa bertindak sebagai pengurus dalam setiap acara sukan yang disertai para atlet Terengganu.


"Sebagai contoh, apabila saya pergi menyaksikan atlet Terengganu beraksi dalam acara hoki, saya akan menjadi pengurus skuad hoki Terengganu.


"Jadi, apabila Ketua Kontinjen rapat dengan atlet, atlet itu sendiri akan lebih bersemangat untuk beraksi.


"Namun, saya tahu kedudukan saya, apa yang perlu saya campur tangan, saya akan campur tangan... saya akan cuba selesaikan apa sahaja masalah yang timbul," katanya.


Wan Nawawi berkata, beliau juga sering mengambil pendekatan 'mengintip' bagi mengelakkan anak-anak buahnya kehilangan fokus ketika beraksi.


"Contohnya dalam acara memanah yang memerlukan seseorang atlet itu memberi fokus yang tinggi. 


"Jadi, kerana tidak mahu memberi tekanan kepada atlet, saya duduk jauh kerana tidak mahu mengganggu tumpuan mereka," jelasnya.


Seperti diramal, skuad lumba basikal muncul antara penyumbang terbesar buat kontinjen Terengganu pada Sukma kali ini apabila membawa pulang 12 pingat emas.


Skuad olahraga turut menjadi watak penting di sebalik kejayaan Terengganu apabila membawa pulang lapan pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan dalam acara tersebut.


Tanpa diberikan harapan yang tinggi, skuad memanah Terengganu melakar kejutan apabila muncul juara keseluruhan dalam acara tersebut selepas meraih sembilan pingat emas.


"Seperti yang saya katakan sebelum ini, walaupun tidak menyertai acara wusyu, manakala acara yang dianggap lubuk emas buat kami seperti kenu dan mendayung tidak dipertandingkan, kontinjen Terengganu masih mampu mencapai kejayaan.


"Kilauan emas yang tidak disangka-sangka juga hadir dalam beberapa acara seperti petanque, seterusnya memberi kelebihan kepada kami untuk sekali lagi muncul juara Sukma," jelas Wan Nawawi.


Ditanya tentang habuan yang bakal diterima kontinjen Terengganu, Wan Nawawi berkata: "Perkara itu saya serahkan kepada kerajaan negeri. Tugas saya (selaku Ketua Kontinjen) berakhir malam ini (semalam).


"Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Terengganu yang sentiasa mendoakan kejayaan kami.


"Terima kasih juga diucapkan kepada para penyokong Terengganu yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan di setiap venue.


"Akhir sekali, terima kasih kepada petugas-petugas media yang memberikan liputan kepada kontinjen Terengganu sebelum dan semasa temasya Sukma berlangsung," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com