expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday 20 July 2012

Eksotik Aechmea

Bunga Aechmea boleh hidup sebulan.



Keunikan pokok tumpang persis nanas dari Amerika Selatan berbunga cantik, daun berduri


SPESIES tanaman hiasan dari genus Aechmea (sebutannya ek-mia) berasal dari famili tumbuhan Bromeliaceae ini adalah sejenis tanaman eksotik. Ada lebih 200 spesies dalam genus Aechmea ini yang kebanyakannya dikatakan berasal dari hutan belantara di Amerika Selatan terutama yang beriklim tropika seperti Brazil dan negara berdekatan. 


Kebanyakan pokoknya adalah jenis ‘epiphyte’ iaitu tumbuh menumpang di atas pokok lain. Tetapi tumbuhan ini mendapat kelembapan dan nutrien daripada air hujan dan juga pereputan bahagian pokok tumpangannya. 


Daunnya panjang tetapi sedikit berduri tajam di tepinya seperti daun nanas. Namun, bunganya cantik dan menarik sekali. Biasanya pokok dewasa akan mengeluarkan setangkai bunga majmuk yang tumbuh dari tengah susunan daunnya. Ada dua spesies yang popular ditanam di Malaysia kerana berdaun dan berbunga cantik iaitu Aechmea fasciata dan Aechmea chantinii. 




 Aechmea fasciata:


Ia dikenali sebagai ’Silver vase plant’ (pokok pasu perak) dan ’Urn plant’ (pokok pasu) kerana daunnya tersusun seperti pasu yang mampu memerangkap dan menakung air hujan serta nutrien untuk pemakanannya.
Daunnya berwarna kelabu dengan sedikit bintik dan jalur berwarna hijau. Bahagian yang kelihatan seperti kelopak bunganya itu sebenarnya adalah brakta atau pengasuh bunganya yang berwarna merah muda.


Bunganya yang sebenar adalah berwarna biru tua dan tumbuh di celah-celah susunan braktanya lalu membentuk segugusan bunga majmuk yang menarik. 




Aechmea chantinii:


Ia digelar ‘Queen of the Bromeliads’ atau Ratu Bromeliad kerana bentuk bunga sangat unik dan menarik. Ia juga digelar sebagai ‘Amazonian Zebra plant’ atau pokok kuda belang Amazon. Ini kerana daunnya yang berwarna hijau berbelang kelabu mirip belang pada badan haiwan itu.


Brakta atau pengasuh bunganya berwarna merah tua manakala bunganya yang sebenar berwarna oren dan kuning.




Pembiakan dan penanaman


Lazimnya, pokok dewasa akan mengeluarkan bunga yang boleh bertahan selama lebih sebulan. Namun, pada masa yang sama, tumbuh juga beberapa anak sulur atau ‘offset’ di bahagian akar pokoknya.


Bagi memastikan anak sulur ini boleh hidup subur menjadi pokok baru, ia harus dipisahkan daripada pokok induk untuk ditanam dalam medium tanaman yang subur dan dijaga rapi. Hanya anak sulur yang mencapai kebesaran sekurang-kurangnya sepertiga dari saiz pokok induk adalah baik untuk digunakan dalam pembiakannya. 




Info: Kaedah penanaman adalah seperti berikut:


1. Potong anak sulur dan pastikan ada sedikit akar padanya supaya ia cepat tumbuh subur. 


2. Semai dalam pasir sungai atau tanam terus dalam medium tanaman dengan saliran baik.


Gunakan medium tanaman untuk pokok berpasu dalam nisbah 3:2:1 (iaitu tanah peroi : bahan organik : pasir sungai) di mana air siraman mudah mengalir keluar.


Sebagai pilihan, anda boleh juga menggunakan campuran arang dengan lumut ‘Sphagnum moss’ sebagai medium tanaman.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com