expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday 14 July 2012

Gejala ringan pembawa maut
















AWAS... kanak-kanak paling mudah dijangkiti.


AWAL tahun lalu, negara digemparkan dengan kematian dua kanak-kanak di Tapah, Perak akibat Rotavirus yang disebarkan melalui air menyebabkan Akut Gastroenteritis (AGE).


Simptom awal yang berlaku kepada kanak-kanak berkenaan adalah muntah, cirit-birit, demam dan mengalami dehidrasi teruk.


Tiada siapa menyangka simptom ‘ringan’ itu sebenarnya mampu membawa maut, terutama kepada kanak-kanak berusia bawah lima tahun.


Perunding Perubatan Pediatrik, Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Chan Pei Fan berkata, Rotavirus adalah penyebab utama kes dehidrasi dan cirit-birit teruk di kalangan bayi dan kanak-kanak, sama ada di negara membangun mahupun maju.



















 




ROTOVIRUS... pertama kali di temui di Australia pada 1973.


“Rotavirus adalah sejenis virus yang mudah berjangkit dan boleh kekal beberapa jam di atas kulit manusia, malah mampu bertahan beberapa hari atas objek keras dan kering.


“Ia mudah merebak melalui air dan sangat cepat. Secara spesifik, ia adalah punca hampir separuh kes cirit-birit serius di kalangan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.


Di kalangan kanak-kanak berusia kurang lima tahun pula, Rotavirus menyebabkan 125 juta kejadian gastroenteritis yang memerlukan penjagaan di rumah, 25 juta lawatan ke klinik, dua juta dimasukkan ke hospital dan 440,000 kematian hampir setiap tahun.


Chan berkata, Rotavirus memiliki lima strain (keturunan) merangkumi G1, G2, G3, G4 dan P1. Strain ini diketahui menyebabkan 90 peratus jangkitan Rotavirus yang dikesan pada kanak-kanak seluruh dunia dari 1989 hingga 2004.


Lazimnya, bayi dan kanak-kanak adalah golongan paling terdedah pada jangkitan Rotavirus kerana tabiat suka memasukkan jari atau mainan ke mulut.


“Jangkitan biasanya berlaku apabila kanak-kanak minum air atau makan makanan yang dicemari. Malah, ia boleh berlaku melalui permukaan atau mainan yang dicemari Rotavirus.



















 





BAHAYA... sampel partikel Rotrovirus daripada tubuh manusia.


“Rotavirus boleh dipindahkan daripada seorang pesakit kepada pesakit lain atau melalui makanan. Kadangkala kanak-kanak yang kerap memasukkan mainan atau tangan ke mulut juga boleh berdepan risiko Rotavirus.


“Apabila kanak-kanak itu kerap muntah dan cirit-birit secara serentak, dia berisiko mengalami dehidrasi dan tentunya bahaya. Jika tidak menerima rawatan sepatutnya, dia boleh meninggal dunia,” katanya.


Meskipun ada yang terfikir membasuh tangan adalah jalan paling selamat dan mudah mengelak virus ini, Chan berkata, jawapannya ya dan tidak.


Ini kerana Rotavirus tahan lasak dan ada kalanya membasuh tangan saja tidak mencukupi. Malah, jangkitan boleh berlaku di kawasan bersih.


Beliau juga menolak tanggapan bahawa Rotavirus hanya berlaku di kalangan negara membangun. Hakikatnya, ia turut berlaku di negara maju.


“Ia berlaku di negara maju dan membangun tanpa mengira tahap kebersihan dan sanitasi. Kebanyakan kanak-kanak akan mengalami jangkitan Rotavirus sekurang-kurangnya sekali sebelum usianya lima tahun. Manakala majoriti kanak-kanak yang dijangkiti Rotavirus pula seawal usia enam hingga 24 bulan,” katanya.


Secara global, sebelum umur lima tahun, lebih 95 peratus kanak-kanak menderita penyakit Rotavirus. Malah di negara-negara membangun, cirit-birit dan muntah akibat rotaviras membunuh kanak-kanak hampir setiap minit.





CEGAH... vaksin perlu untuk mencegah virus.


Sementara itu, Pengarah Unit Pediatrik dan Neonatal (jangkitan penyakit dan kajian klinikal) Universiti Padova, Itali, Profesor Carlo Giaquinto berkata, kini pelbagai rawatan boleh didapati, termasuk vaksin, bagi mencegah Rotavirus.


“Di kalangan negara maju, banyak menggunakan alternatif vaksin sebagai pencegahan awal virus ini. Misalnya Finland, Austria, Jerman dan Sepanyol, yang mana mereka tidak dikenakan sebarang caj untuk tujuan berkenaan.


“Cara hidup kita sangat berbeza dengan dulu. Harus diingat, Rotavirus tiada musim untuk menyerang kerana ia boleh berlaku bila-bila saja.


“Ramai juga yang menyangka Rotavirus adalah penyakit baru, namun sebenarnya ia wujud sejak 1973 dan ditemui di Australia buat kali pertama,” katanya.















 



INFO


  •   Ditemui kali pertama di Australia pada 1973.
  •   Boleh tersebar menerusi air.
  •   Ia boleh hidup di atas tangan manusia dan mampu bertahan beberapa hari atas permukaan keras.
  •   Rotavirus juga boleh kekal stabil dalam najis manusia sehingga seminggu.





Simptom terkena jangkitan Rotavirus
  •   Muntah, cirit-birit dan demam berpanjangan.
  •   Tekanan darah dalam badan menurun.




Simptom

  •   Jika tubuhnya tidak boleh menerima sebarang cecair lebih daripada 24 jam.
  •   Jika dia mengalami dehidrasi.
  •   Jika dia muntah lebih daripada tiga jam.
  •   Jangan beri dia sebarang ubat untuk memberhentikan cirit-birit, kecuali atas arahan doktor.






Langkah elak Rotavirus


  •   Sentiasa basuh tangan sebelum menyentuh makanan.
  •   Masak air sehingga mendidih terlebih dulu sebelum diminum.
  •   Elakkan berkongsi makanan dengan pesakit Rotavirus.
  •  Orang ramai disaran memasak air walaupun menggunakan penapis air kerana Rotavirus boleh melepasi tapisan.




No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com