expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday 12 July 2012

Gempar lembu beranak kembar


















A Ghani melihat anak lembu jantan kembar yang dilahirkan Sabtu lalu oleh salah seekor lembu betina dipeliharaannya di Kampung Tok Gebok.


KAMPUNG TOK GEBOK - Lembu beranak dua. Ia mungkin bukan perkara biasa, namun keadaan itu amat jarang berlaku dan kerana itulah, komuniti di sini gempar apabila seekor lembu dipelihara seorang datuk 22 cucu, beranak kembar dua Sabtu lalu.


Tambah mengejutkan pemiliknya, A Ghani Muhammad, 74, kejadian itu pertama kali dihadapinya biarpun mula memelihara lembu sejak usianya belasan tahun lagi dan sudah ada individu menawarkannya RM3,000 untuk membeli pasangan anak lembu jantan kembar dan ‘ibu’nya itu.


Menurut A Ghani, ia juga menjawab segala tanda tanya dia sekeluarga setelah mendapati perut lembu betina peliharaannya itu terlalu bunting sewaktu haiwan berkenaan ‘pulang’ seekor ke rumah secara tiba-tiba sekitar tiga minggu lalu.


“Pakcik mempunyai hampir 20 lembu dan dilepaskan di kawasan hutan berhampiran. Kebiasaannya, haiwan ini bergerak secara berkumpulan. Namun, pakcik terkejut apabila mendapati salah seekor lembu betina dipelihara pulang.


“Mulanya pakcik terfikir mungkin haiwan ini ingin beranak di belakang rumah kerana melihat keadaannya bunting. Malah, pakcik juga tertanya-tanya kenapa perut lembu betina ini terlalu buncit bukan sebagaimana lembu-lembu betina yang lain ketika bunting," katanya.


Menurutnya, segalanya terjawab pagi Ahad lalu apabila dia mendapati haiwan itu beranak kembar dua.


"Petang Sabtu lalu kira-kira jam 5 petang, ketika pergi ke belakang rumah, pakcik dapati lembu ini sudahpun beranak tetapi hanya melihat seekor sahaja anaknya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.


Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk memindahkan lembu betina dan seekor anak lembu itu ke dalam kandang kira-kira 50 meter dari tempat itu, tanpa menyedari terdapat seekor lagi anak lembu.


“Malam itu, lembu betina tersebut asyik berbunyi dan pakcik fikirkan ia mungkin disebabkan haiwan ini baru beranak. Keesokannya iaitu kira-kira jam 9 pagi, sebaik membuka pagar kandang, lembu betina ini terus meluru ke lokasinya beranak.


“Pakcik terkejut melihat ada seekor anak lembu meluru ke arah lembu betina ini. Ketika itulah baru menyedari haiwan ini beranak kembar dua dan ia benar-benar mengejutkan pakcik yang sudah sekian lama memelihara lembu ini. Setiap seekor dianggarkan seberat 20 kilogram," katanya.


Menurutnya, walaupun sudah ada tawaran untuk membeli lembu betina dan anak lembu kembar ini, namun buat masa ini dia tidak bercadang menjualnya.


"Sebaliknya, pakcik berhasrat memeliharanya untuk disembelih bagi adakan kenduri di rumah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com