expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday 6 July 2012

Hindari 70 dosa besar




MEREKA yang melakukan dosa adalah seorang yang menjadi teladan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi contoh di dalam Islam dengan contoh yang jelik, dia akan mendapat dosanya dan dosa orang yang mengikutinya selepas dia tanpa dikurangi dosa itu sedikitpun.


Pada kali ini, penulis mengambil beberapa pandangan ulama berkenaan dosa besar dengan harapan kita semua dapat menjauhkan diri daripada dosa. 


Dosa besar adalah perlakuan salah yang dijelaskan hukuman, dilaknat serta akibat yang disebut secara jelas dalam al-Quran dan sunah Nabi Muhammad. 


Menurut az-Zanabi dalam bukunya al-Kabaair, dinyatakan sebanyak 70 dosa besar dan daripada 70 itu diringkaskan kepada jenisnya seperti berikut: 


  •   Empat jenis di hati iaitu syirik, terus menerus berbuat maksiat, putus asa dan berasa aman daripada seksa Allah.

  •  Empat jenis pada lisan iaitu kesaksian palsu, menuduh berbuat zina pada wanita baik-baik, sumpah palsu dan mengamalkan sihir.
  •  Tiga jenis di perut iaitu minum arak, memakan harta anak yatim dan memakan riba.
  •  Dua jenis di kemaluan iaitu zina dan homoseksual.
  •  Dua macam di tangan iaitu membunuh dan mencuri.
  •  Satu di kaki iaitu lari dalam peperangan.
  •  Satu di seluruh badan iaitu derhaka terhadap orang tua.

Dosa kecil iaitu adalah dosa yang tidak dinyatakan di atas. Dosa kecil akan menjadi besar jika dilakukan berterusan. Menurut Imam Hasan al-Basri, tidak ada dosa kecil apabila dilakukan dengan berterusan dan tidak ada dosa besar apabila disertai dengan beristighfar. 


Allah berfirman, maksudnya: “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran ayat 135).


Tindakan sesetengah daripada kita yang menganggap remeh mengenai dosa, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim). 


Jika ada yang bergembira melakukan dosa, Allah berfirman, maksudnya: “Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah”, bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka jahanam. Dan sungguh neraka jahanam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya.” (Surah al-Baqarah ayat 206). 


Begitu juga mereka yang berasa aman daripada azab Allah, Allah berfirman maksudnya: “Apakah tiada kamu perhatikan orang-orang yang dilarang mengadakan perbicaraan rahsia, kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka mengadakan perbicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan derhaka kepada Rasul. Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu. 


Dan mereka mengatakan pada diri mereka sendiri: “Mengapa Allah tiada menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?” Cukuplah bagi mereka neraka Jahannam yang akan mereka masuki. Dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Mujadalah ayat 7). 


Kemudian, manusia yang melakukan perbuatan maksiat secara terang-terangan, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah menutupi dosa itu semalaman, tetapi di pagi hari dia buka tutup Allah terbabit.” (Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim).



No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com