expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday 6 July 2012

London miliki bangunan tertinggi di Eropah
















GAMBAR menunjukkan bangunan tertinggi di Eropah iaitu Shard yang terletak di tebing Sungai Thames, London.


LONDON – Bangunan pencakar langit tertinggi di Eropah, Shard yang dibina dengan 95 peratus dana dari Qatar, dirasmikan di sini semalam.


Struktur besi dan kaca setinggi 310 meter itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Qatar, Hamad Jassem Al-Thani dan Putera Andrew yang merupakan anak lelaki pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II.


Satu pertunjukan cahaya laser dengan iringan muzik orkestra diadakan bagi menyerikan majlis perasmian tersebut.


Perasmian berkenaan menandakan pembinaan bahagian luar bangunan itu telah siap. 


Bangunan Shard terletak di tebing selatan Sungai Thames dekat Jambatan London di sini.


Kerja-kerja menyiapkan bahagian dalaman bangunan berkenaan dijangka berterusan sehingga tahun hadapan.


Bangunan itu lebih rendah jika dibandingkan dengan Bangunan Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu yang merupakan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia.


Burj Khalifa setinggi 828 meter.


Bagaimanapun, bangunan Shard mengatasi Menara Moscow di Rusia sebagai bangunan tertinggi di Eropah.


Nama Shard diberikan oleh arkitek Itali yang mereka bentuk bangunan berkenaan, Renzo Piano.


Dengan kapasiti boleh memuatkan 12,000 orang, bangunan setinggi 95 tingkat itu akan menempatkan sebuah hotel lima bintang, ruang pejabat seluas 600,000 meter persegi dan beberapa restoran mewah serta kedai.


Bangunan pencakar langit berbentuk meruncing itu juga akan menempatkan 10 unit apartmen.


Setiap apartmen dilaporkan berharga sehingga £50 juta (RM246 juta).


Apartmen di tingkat 53 hingga 65 bangunan itu merupakan kediaman tertinggi di Britain.


Dibina dengan kos £450 juta (RM2.22 bilion), Shard akan dibuka sebagai tarikan pelancong pada Februari depan. Setakat ini lebih 17,500 orang mendaftar secara dalam talian untuk melawat dek pemandangan bangunan tersebut manakala tiket bagi tujuan tersebut boleh ditempah bermula hari ini. – AFP

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com