MOHAMMED MORSI mengangkat sumpah
sebagai Presiden Mesir di Mahkamah Agung Perlembagaan di Kaherah semalam.
KAHERAH - Presiden Mesir, Mohamed Morsi mengumumkan
sokongannya kepada Palestin sehingga penduduk wilayah berkenaan "mendapat
semula, semua hak mereka".
Dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden Mesir di Universiti
Kaherah di sini semalam, beliau turut meminta supaya pertumpahan darah di Syria
ditamatkan.
"Saya mengumumkan dari sini bahawa Mesir, rakyatnya dan
institusi Presiden berdiri teguh bersama bangsa Palestin sehingga mereka
mendapat semula semua hak mereka," kata Morsi.
"Kami juga menyokong rakyat Syria. Kami mahu pertumpahan
darah di negara berkenaan dihentikan," tambahnya.
Beliau mengulangi bahawa Mesir akan menghormati semua
perjanjian antarabangsa yang pernah ditandatanganinya.
Negara Arab berkenaan memeterai satu perjanjian damai dengan
Israel pada 1979.
"Kami membawa mesej keamanan kepada dunia, diiringi oleh
perutusan mengenai hak dan keadilan," ujarnya."
Morsi, 60, yang meletak jawatan daripada pegerakan Islam,
Ikhwanul Muslimin selepas memenangi pilihan raya Presiden bulan ini, berucap
dengan nada tegas berhubung sokongannya kepada Palestin semasa berkempen.
Ikhwanul Muslimin turut menentang Bashar Al-Assad dan
menyokong kebangkitan rakyat menentang Presiden Syria berkenaan.
Namun, sebagai Presiden, Morsi dijangka tidak melakukan
perubahan besar ke atas dasar luar Mesir terutamanya berhubung Israel.
Terdahulu, beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir
dalam satu upacara ringkas di Mahkamah Agung Perlembagaan di sini.
"Saya bersumpah dengan nama Tuhan yang Maha Besar akan
mengekalkan pemerintahan republikan dan menjunjung perlembagaan dan
undang-undang negara serta menjaga kepentingan rakyat," katanya dalam
upacara di mahkamah berkenaan.
Morsi merupakan Presiden Mesir pertama yang dipilih menerusi
proses pilihan raya sejak Hosni Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan rakyat
awal tahun lalu. - Agensi
No comments:
Post a Comment