Berasak-asak demi menyambut
kedatangan pemain Red Warriors.
Penyokong setia berkonvoi mengetuai
rombongan Red Warriors ke Tesco.
Konvoi motor berkuasa tinggi turut
memeriahkan lagi perarakan ini.
KOTA BHARU -
Lebih 5,000 penyokong The Red Warriors membanjiri pasar raya besar Tesco di
sini, semalam bagi meraikan kejayaan wira mereka dan melihat sendiri Piala FA
yang dibawa pulang selepas mengalahkan Sime Darby, 1-0 pada perlawanan akhir,
baru-baru ini.
Perarakan yang bermula dari Kafe The Red Warriors, Jalan Sultan Mahmood itu tiba di pasar raya berkenaan pada jam 5 petang.
Pemain yang berjalan masuk sambil menjulang Piala FA diserbu orang ramai yang setia menanti wira-wira mereka itu seawal jam 4 petang. Menyertai kumpulan pemain termasuk Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Rosmadi Ismail.
Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh serta turut kelihatan tidak ketinggalan memeriahkan majlis, Presidennya, Tan Sri Annuar Musa. Konvoi pacuan empat roda itu turut disertai kelab motosikal berkuasa tinggi dan ahli kelab-kelab penyokong Kelantan.
Sementara itu, seorang penyokong, Ahmad Aiman Jihaduddin, 24, menyatakan rasa bangga kepada pemain-pemain Kelantan yang merealisasikan cita-cita dan harapan rakyat negeri ini.
“Selepas 22 tahun menanti dan tiga kali melangkah ke final, Kelantan akhirnya berjaya merangkul kejayaan itu. Saya sangat berbangga menjadi rakyat Kelantan. Mudah-mudahan kejayaan ini akan berulang pada Piala Konfederasi Asia (AFC) dan Liga Super,” katanya.
Azfiza Azlan, 28, pula berkata, dia merasai aura kemenangan yang dicapai pasukan kesayangannya itu dan tidak melepaskan peluang meraikan mereka, semalam.
“Dulu saya tidaklah terlalu minat bola sepak, tetapi, selepas prestasi mereka meningkat naik dan begitu memberangsangkan, saya jadi suka dan sentiasa mengikuti perkembangan pasukan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Cawangan Tesco, Christoper Anthony berkata, beliau begitu teruja dengan semangat kesukanan yang ditunjukkan rakyat Kelantan.
“Sehubungan itu, kami memberi cuti kepada lebih 60 kakitangan kami pada hari ini bagi memberi ruang mereka untuk beramah mesra denganpemain kesayangan mereka.
“Dalam masa sama kami juga mengadakan promosi potongan harga ke atas 700 barang keperluan harian termasuk makanan basah dan kering. Promosi yang bermula tiga minggu lalu itu akan berterusan selama tiga bulan,” katanya.
No comments:
Post a Comment