PEMAIN-PEMAIN Jerman meraikan
kejayaan mara ke separuh akhir selepas menewaskan Greece 4-2 di Stadium Donbass
Arena awal pagi semalam.
GDANSK, Poland - Percaturan jurulatih Jerman, Joachim Löw
untuk merombak jentera serangan pasukan itu pada aksi suku akhir menentang
Greece awal pagi semalam, membuahkan hasil.
Pada aksi di stadium Donbass Arena itu, anak-anak buah Löw
tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 4-2.
Penyerang veteran, Miroslav Klose, 34, membuktikan bahawa dia
masih lagi dianggap sebagai pencabar utama kepada Mario Gomez untuk mengemudi
jentera serangan pasukan itu.
Pemain sayap, Marco Reus dan André Schürrle turut beraksi
cemerlang untuk mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Greece menerusi kelincahan
mereka.
Dalam masa yang sama, Reus turut meletakkan namanya sebagai
penjaring apabila meledakkan gol keempat Jerman.
"Hari ini (semalam) adalah hari perubahan. Saya telah
memikirkan mengenai perkara ini sejak beberapa hari lepas," kata Löw.
"Saya bukan tidak gembira dengan barisan pemain sebelum
ini tetapi saya mahu melakukan perubahan.
"Saya mahu menjadikan pasukan ini sebagai sebuah pasukan
yang sukar untuk diramal."
Bagaimanapun, Löw tidak berpuas hati selepas strategi untuk
melakukan rombakan itu diketahui oleh media Jerman sebelum perlawanan bermula.
Beliau berkata, ada kemungkinan 'rahsia' itu telah dibocorkan
oleh ejen-ejen pemain, namun Jerman bernasib baik apabila berita tersebut tidak
sampai kepada Greece.
Löw menggunakan khidmat Gomez dalam tiga perlawanan peringkat
kumpulan dan penyerang Bayern Munich itu berjaya menyumbang tiga gol ketika
menewaskan Portugal dan Belanda.
Begitupun, Gomez kurang berkesan pada aksi terakhir menentang
Denmark, sekali gus memberi laluan kepada Klose untuk diturunkan pada pertemuan
menentang Greece. - Agensi
No comments:
Post a Comment