ALAH
membeli, menang memakai. Peribahasa ini bermaksud barang yang baik memang mahal
harganya tetapi lama dapat dipakai.
Walaupun
wujud produk serupa yang menawarkan harga jauh lebih murah, apa gunanya jika ia
tidak menjamin kualiti serta tidak tahan lama. Yang penting adalah kualiti,
bukan kuantiti.
Setiap
peribahasa Melayu ada nasihat terselindung. Bukan setakat membeli barang mahal
dan lama dapat dipakai saja, sebaliknya tempoh membeli sesuatu barang itu juga
ada hadnya.
Umpamanya sehelai baju berjenama berharga RM100 mungkin boleh dipakai bertahun-tahun berbanding membeli lima baju berharga RM20. Jumlahnya nampak banyak tetapi mungkin tiada kepuasan memakai.
BOROS...kaki 'shopping' lazimnya
menggunakan kad debit dan kredit secara berlebihan.
|
Namun,
berapa ramai antara kita yang masih berpegang teguh dengan peribahasa ini.
Sejauh mana pula peribahasa ini mampu mendidik minda pengguna, terutama yang
tinggal di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur.
Pada masa kini, tabiat membeli-belah atau ‘shopping’ yang tidak terkawal kerap berlaku di kalangan warga kota.
Malah, minat yang sering dikaitkan dengan golongan wanita ini nampaknya mula menular di kalangan golongan lelaki yang turut sama kelihatan berbelanja mewah di pasar raya terkemuka sekitar ibu negara.
Kegilaan
terhadap aktiviti beli-belah juga bukan lagi terhad kepada pakaian, kasut
mahupun beg tangan, malah gajet telekomunikasi, peralatan rumah, barangan
elektrik, malah makanan sekalipun mula digemari.
Ini sekali gus memperlihatkan betapa masyarakat kita sekarang dilanda sindrom ‘shopaholic’ yang membimbangkan kerana ada antara mereka sanggup meminjam semata-mata ingin membeli barangan tidak penting.
Bagi kaki
‘shopping’, perkataan ‘sale’ atau jualan murah yang terpampang dalam mana-mana
kedai ibarat magnet menarik mereka masuk secara spontan.
Pendek kata, kaki yang sebelumnya mahu terus ke depan boleh pula membelok ke kiri untuk melangkah masuk ke dalam kedai.
Bila ada saja waktu senggang, idea membeli-belah pasti datang menjengah di kotak fikiran. Tidak perlu direktori lagaknya, semua kedai di setiap pelosok pusat beli-belah bagai memanggil-manggil.
Itu
belum lagi mengambil kira senario pada hujung bulan apabila si kaki shopping
menerima gaji masing-masing. Ada saja benda yang hendak dibeli, walhal
sebenarnya semua tersedia di rumah.
Soal harga ditolak ke tepi. Jarang sekali ada pengguna berfikir dua kali untuk berbelanja selepas melihat angka 50%, 70% dan seumpamanya yang bergantungan di setiap ceruk kedai.
Golongan
yang mempunyai kad kredit lebih ditakuti kerana risiko berhutang memang jelas
di depan mata. Kononnya hutang itu akan dibayar sebaik dapat gaji, namun tidak
semuanya memiliki disiplin.
Bayangkan, 40 peratus daripada keseluruhan pengguna kad kredit tidak pun menjelaskan keseluruhan jumlah yang digunakan secara sekali gus.
Trend
‘window shopping’ pula seakan-akan budaya di kalangan masyarakat kota.
Ungkapan itu kerap kali digunakan kononnya pengguna sekadar melihat-lihat tanpa mengeluarkan wang.
Bagi yang berhasrat menguruskan badan, window shopping yang sering dikatakan mampu membakar kalori tentu menjadi bonus buat mereka, walaupun majoritinya tidak berjaya menghindarkan diri daripada berbelanja.
Inilah buktinya window shopping bukan sekadar melihat-lihat, sebaliknya ia lebih berbahaya kerana boleh menyebabkan berlakunya pembaziran melampau, apatah lagi jika seseorang itu berkelapangan.
Ada juga
pengguna gemar membeli secara dalam talian atau ‘on-line’ kerana cara ini lebih
mudah. Mereka tidak perlu keluar rumah bersesak dengan orang ramai atau mencari
tempat letak kereta. Semua urus niaga hanya menerusi on-line.
Kaedah terbaru ini begitu meluas hinggakan kawasan luar bandar turut memanfaatkan kemudahan pembelian secara on-line.
Bagi mereka, ia lebih mudah kerana mereka tidak perlu ke bandar, sebaliknya hanya bergantung kepada jaringan Internet untuk membeli barang.
Taip saja apa barang yang ingin dibeli, semuanya tersedia, sama ada produk tempatan mahupun import. Individu yang tidak memiliki kad kredit pun boleh membeli secara on-line menerusi pembayaran di mesin deposit tunai di bank.
Disebabkan hal ini, perancangan kewangan sering tersasar serta sukar dikawal.
Bayangkan saja, sambil melayari video di YouTube pun seseorang itu mampu kehabisan wang menerusi pembelian on-line.
Pada musim perayaan, lain pula halnya. Paling ketara adalah ketika Aidilfitri.
Selagi
boleh, semua jenis kuih raya mahu dibeli, tidak termasuk makanan wajib seperti
rendang, ketupat dan lemang yang ditempah dengan banyaknya sejak awal.
Pada perayaan ini, sebahagian penganut Islam umpama hidup untuk makan. Mana tidaknya, laksa, murtabak, nasi tomato, ayam percik, cendol semuanya ‘diangkut’ di bazar Ramadan, sedangkan dia tidak larat menghabiskan semuanya.
Akhir bulan,
baru menangis tidak berlagu apabila kehabisan wang atau dikejar pemiutang. Ini
jadinya apabila nafsu membeli-belah menguasai diri sedangkan yang dibeli bukan
barangan keperluan, sebaliknya hanya bagi memuaskan diri dan keluarga.
Semuanya berbalik kepada pengguna. Mereka sepatutnya bijak mengawal nafsu supaya tidak terpengaruh dengan tarikan penjual dan berbelanja membabi-buta.
No comments:
Post a Comment