expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 24 June 2012

Liga Super: Kelantan capai kemenangan ke-14





KUALA LUMPUR - Pasukan Kelantan merekodkan kemenangan ke-14 dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Sabah, 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.


Kemenangan tersebut daripada 20 perlawanan yang diharungi skuad Kijang setakat ini membolehkan mereka mengumpul 47 mata, tiga mata kurang berbanding pendahulu liga, Lions XII dari Singapura yang tidak bermain hari ini.


Dua gol Kelantan pada perlawanan tersebut dijaringkan Rizal Fahmi Abdul Rosid pada minit ketujuh dan Indra Putra Mahyuddin pada lewat permainan.


Perak yang sebelum ini menduduki tangga keempat liga naik satu anak tangga selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Sarawak, di Stadium Negeri, Kuching.


Albert Dominique membuka jaringan untuk skuad Seladang seawal minit kesembilan permainan sebelum Azizan Saperi menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-45.


Michal Kubala mengesahkan kemenangan mutlak skuad bimbingan Norizan Bakar apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-21.


Kedah turut mencatatkan kemenangan selepas menewaskan Kuala Lumpur, 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.


Penyerang tuan rumah, Mohd Faizal Abu Bakar membuka tirai jaringan pada minit ke-36 selepas beliau memanfaatkan hantaran lintang dari pemain import skuad Kenari dari Croatia, Vedran Gerc.


Vedran menggandakan jaringan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-72 menerusi sepakan penalti sebelum skuad warga kota mengurangkan defisit jaringan menerusi tendangan penalti oleh Zakaria Charara pada minit ke-79.


Sementara itu, dua pasukan Pantai Timur, T-Team dan Terengganu terpaksa berputih mata selepas mencatatkan keputusan seri ketika menentang lawan masing-masing.


T-Team mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Negeri Sembilan diStadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.


Jean-Emmanuel Effa Owona memberikan gol pendahuluan kepada skuad Rusa sebelum Mohd Faiz Subri menyamakan kedudukan untuk T-Team, lapan minit kemudian.


"'Abang' mereka iaitu Terengganu pula terikat 2-2 dengan wakil kelab Lembah Klang, Selangor PKNS di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.


Dua gol Terengganu dijaringkan oleh Mazlizam Muhamad pada minit ketiga dan Mohamad Ashari Samsudin manakala dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Fauzan Zulkifli pada minit ke-30 dan Mickael Nicoise pada minit ke-37. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com