JIKA anda menganggap puntianak hanya mitos atau kisah seram
dalam filem, fikirkanlah semula. Ahli arkeologi Bulgaria baru-baru ini menemui
dua rangka manusia daripada Zaman Pertengahan dengan sebatang besi menikam dadanya,
dipercayai bagi menghalang si mati daripada hidup semula sebagai puntianak.
Dua rangka itu, dikatakan berusia 800 tahun, ditemui dalam
satu ekskavasi berhampiran sebuah biara di bandar Laut Hitam Bulgaria, Sozopol.
Ketua Muzium Sejarah negara itu, Bozhidar Dimitrov berkata,
dua rangka yang ditikam itu menyamai amalan penduduk kampung di Bulgaria
sehingga dekad pertama abad ke-20.
Bomoh-bomoh di Eropah percaya orang yang berkelakuan jahat
semasa hidup akan bertukar menjadi puntianak selepas mati melainkan dadanya
ditusuk batang besi atau kayu sebelum dikebumikan.
Mereka yakin batang besi itu dapat menghalang si mati
daripada merayau-rayau pada waktu tengah malam dan mengganggu penduduk. Menurut
Dimitrov, lebih 100 rangka dengan tikaman besi ditemui di Bulgaria dalam tempoh
beberapa tahun kebelakangan ini.
PENEMUAN rangka puntianak di Bulgaria
menimbulkan misteri sama ada makhluk itu benar-benar wujud.
“Saya tidak tahu kenapa penemuan rangka seperti itu menjadi
begitu popular. Mungkin ia disebabkan misteri perkataan puntianak,” katanya.
Puntianak Eropah kebiasaannya adalah lelaki tetapi bulan
lalu, penyelidik Itali menemui rangka puntianak wanita di Venice - ditanam
dengan seketul bata disumbat ke dalam mulutnya bagi menghalangnya daripada
memburu mangsa di bandar itu. Puntianak wanita itu dipercayai daripada abad
ke-16.
Ahli antropologi Universiti Florence, Matteo Borrini berkata,
penemuan di sebuah pulau kecil, Lazzaretto Nuovo di lagun Venice itu menyokong
kepercayaan lama bahawa puntianak menjadi dalang di sebalik kejadian huru-hara
seperti Black Death pada abad berkenaan.
“Untuk membunuh puntianak itu, anda terpaksa membuang kain
yang menutup mulutnya. Kain itu umpama makanan sama seperti susu bayi. Sebagai
ganti, letakkan benda yang tidak boleh dimakan,” jelas Borrini.
Kisah puntianak ternyata bukan sahaja terkenal dalam kalangan
penduduk kampung di Malaysia bahkan di negara-negara maju di Eropah.
Cerita itu juga popular di Indonesia hinggakan sebuah wilayah
di Kalimantan Barat dinamakan Pontianak. Menurut cerita orang tua-tua, pengasas
Pontianak iaitu seorang ulama bernama Syarif Abdurrahman Al-Qadri sering
diganggu oleh hantu itu ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu
masuk ke bandar itu dari Laut China Selatan.
Ulama itu dikatakan menggunakan meriam karbaid untuk
menghalau atau membunuh makhluk tersebut.
Halia
PAKU membunuh puntianak. - Gambar
hiasan
Sehingga hari ini, meriam yang digunakan itu menjadi satu
instrumen untuk menarik pelancong ke situ.
Menurut Datuk Bandar Pontianak, Paryadi, meriam karbaid
digunakan untuk menghalau puntianak semasa pemerintahan sultan di Pontianak.
“Kini ia digunakan untuk memaklumkan penduduk di sini waktu
solat Maghrib, berbuka puasa dan pengumuman Hari Raya Aidilfitri,” beritahu
beliau.
Di Eropah, mitos puntianak memiliki banyak versi. Di Greece
ia dikenali dengan nama vrykolakas manakala di Romania, symengol.
Kisah puntianak turut diangkat oleh penulis Britain, John
Polidori yang menghasilkan novel bertajuk The Vampyre pada tahun 1819. Cerita hantu
penghisap darah itu sangat digeruni hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan
orang ramai pada masa itu.
Di Croatia pada tahun 1672, penduduk sebuah kampung
diceritakan gempar apabila seorang penduduk yang mati pada tahun 1656 hidup
semula dan menghisap darah penduduk selain merogol wanita janda.
Serangan puntianak turut menggemparkan Britain pada tahun
1970 apabila beberapa akhbar tempatan melaporkan berita kononnya hantu itu
telah menyerang kawasan Perkuburan Highgate di London.
Ia menyebabkan ramai pemburu puntianak berkumpul di situ.
Sesetengah daripada mereka sempat menulis buku mengenainya hingga memperoleh
keuntungan.
Seorang penulis buku dan juga pemburu hantu, Sean Manchester
mendakwa telah menghapuskan semua puntianak di kawasan itu. Tetapi tiada bukti
jelas mengenai kewujudan hantu itu.
Pada Januari 2005 pula, penduduk Birmingham terkejut dengan
kemunculan seorang penyerang yang berkelakuan seperti puntianak iaitu menghisap
darah mangsa sebelum membunuhnya. Bagaimanapun, polis yang menyiasat kes itu
mengatakan andaian puntianak itu hanya khabar angin.
Seorang pakar teologi Perancis, Dom Augustine Calmet pernah
membuat kajian komprehensif berdasarkan kes serangan puntianak tetapi tidak
menemui bukti tentang kewujudan makhluk itu.
Mitos
SALAH satu babak dalam filem Abraham
Lincoln: Vampire Hunter yang dilakonkan aktor terkenal Amerika Syarikat,
Benjamin Walker.
Pemerintah Austria pada kurun ke-17, Maria Theresa Walburga
Amalia Christina pula meminta doktor peribadinya, Gerard Van Swieten menyiasat
entiti puntianak tetapi ia juga berakhir dengan kegagalan.
Kata Swieten, kisah puntianak itu sekadar menggalakkan
pengamal ilmu hitam menggali kubur untuk memantapkan ilmu serta mencuri organ
manusia untuk dijual.
Pengkaji alam misteri dan sejarah purba Nusantara, Mohammad
Idrus Abu Hanifah berpendapat, puntianak sebenarnya ialah jin dan hantu yang
ingin mengganggu manusia.
Katanya, tidak mungkin jin serta hantu dapat meragut nyawa
manusia.
“Pelbagai teori telah dikemukakan tetapi tidak ada sekeping
gambar atau kajian saintifik yang mengesahkan perkara tersebut.
“Malah, cara menghapuskan puntianak mempunyai pelbagai versi
seperti mencurahkan air panas pada muka atau abu mayat, melemaskan hantu itu,
menusuk paku ke tengkuknya dan menyumbat halia ke dalam mulutnya,” katanya
kepada Jurnal.
Merujuk kepada negara ini, puntianak dikatakan hantu wanita
yang berwajah cantik selepas dipantak paku di tengkuknya tetapi akan kembali
hodoh jika paku itu dicabut.
Mohammad Idrus mengaku pernah membuat kajian dengan pergi ke
sebuah lokasi yang dikatakan ada puntianak di Hulu Selangor.
“Di situ, saya berjumpa dengan hantu puntianak yang hodoh.
Sebaik sahaja saya mencucuk paku sepanjang 10 sentimeter di tengkuknya, tidak
berlaku apa-apa perubahan sebaliknya hantu itu memarahi saya.
“Hantu itu memakai pakaian berwarna putih manakala matanya
merah menyala. Ia mempunyai gigi yang tajam, memang tak cantik langsung,” dakwa
Mohammad Idrus sambil ketawa.
No comments:
Post a Comment