SAFEE jelas kecewa apabila gagal
menjaringkan gol ketika menentang Filipina di Stadium Shah Alam, malam
kelmarin.
KEKECEWAAN jelas tergambar pada riak wajah penyerang berbisa
Harimau Malaya, Safee Sali sejurus tamat aksi persahabatan menentang Filipina
di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.
Apa tidaknya, Safee terus gagal menamatkan kemarau jaringan
bersama skuad kebangsaan sejak November tahun lalu.
Biarpun memiliki sekurang-kurangnya empat peluang terbaik,
Safee masih gagal merobek gawang Filipina sepanjang 90 minit perlawanan
berlangsung.
"Ia satu perlawanan yang cukup sengit. Kami memiliki
banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi masih gagal menyudahkannya dengan
baik.
"Memang keputusan itu sukar saya terima. Banyak lagi
yang perlu saya perbaiki," kata Safee kepada pemberita selepas tamat
perlawanan malam kelmarin.
Bagaimanapun, Safee mahu menebus kekecewaannya itu apabila
Harimau Malaya berdepan Singapura pada aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar,
8 Jun ini.
"Kami akan mempertingkatkan usaha kami dan berharap
kesilapan serta kelemahan yang sama tidak akan berulang ketika menentang
Singapura nanti.
"Lebih mustahak, kami perlu memanfaatkan peluang
jaringan yang terhidang," jelasnya.
Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim turut menganggap keputusan
seri tanpa jaringan dengan Filipina itu dapat dijadikan sebagai pengajaran.
Selain tekad untuk memperbaiki kesilapan, perancang Selangor
itu bersedia untuk meningkatkan lagi tahap persembahan ketika menentang
Singapura nanti.
"Satu pengajaran buat saya dan rakan-rakan sepasukan.
Kami sebenarnya mampu memenangi perlawanan tersebut tetapi gagal untuk
memanfaatkan peluang yang ada.
"Ia merupakan satu keputusan yang tidak positif. Kami
tidak harus mempersia-siakan lagi peluang yang ada dan kami akan memperbaiki
kelemahan ketika menentang Singapura," ujarnya.
Selepas bertandang ke Stadium Jalan Besar, Harimau Malaya
akan menanti kunjungan Singapura pada aksi persahabatan kedua di Stadium Shah
Alam empat hari kemudian.
Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu kini dalam persiapan
menjelang misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 yang akan
berlangsung November depan.
No comments:
Post a Comment