expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday 5 July 2012

Bertemu Perak, Apek gesa rakan bawa kemenangan


















Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat


PETALING JAYA - Penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat meminta rakan sepasukan memanfaatkan peluang untuk mencatatkan kemenangan di laman sendiri pada perlawanan Liga Super menentang Perak, Sabtu ini.


Pemain yang lebih dikenali dengan panggilan 'Apek' itu berkata kemenangan ke atas skuad Norizan Bakar itu penting bagi memastikan Kelantan mampu mempertahankan piala yang dimenangi musim lepas.


"Kita harus mengutip tiga mata ketika bertemu Perak dan saya harap rakan sepasukan mampu mempamerkan persembahan terbaik mereka kerana ia peluang terbaik kita mempertahankan kejuaraan Liga Super," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran kasut sukan baharu oleh sebuah syarikat pengeluar barangan sukan di sini, hari ini.


Skuad kendalian Bojak Hodak, yang mengumpul 54 mata selepas mengharungi 23 perlawanan setakat ini, berpeluang cerah mempertahankan Piala Liga Super yang dimenangi musim lepas sekiranya mereka mengalahkan Perak.


Pesaing terdekat mereka, Lions XII dari Singapura yang beraksi dalam 24 perlawanan liga setakat ini, hanya mengumpul 50 mata dan masih belum beraksi dalam dua perlawanan terakhir.

  
Khairul Fahmi, yang juga penjaga gol kebangsaan, turut mengakui pasukan Kelantan berdepan dengan tekanan daripada penyokong setia 'The Red Warriors' setiap kali mereka beraksi di laman sendiri.


"Namun pada masa sama, tekanan penyokong itu menjadi pembakar semangat kepada kami untuk memperagakan aksi terbaik," katanya. 


Mengulas mengenai kekalahan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara 1-2 kepada Myanmar dalam perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala AFC B-22 Kumpulan G semalam, beliau memuji semangat juang yang dipamerkan skuad kendalian Ong Kim Swee itu. -- Bernama

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com