expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 1 July 2012

Jantung pisang tumbuh mendongak ke langit


















Ramlah melihat jantung pisang mendongak ke langit yang tumbuh pada batang pokok pisang tumbang.


LEDANG – “Saya sangka roket, rupanya jantung pisang,” kata Ramlah Abdullah, 56, selepas terkejut melihat jantung pisang tumbuh mendongak ke langit di kebun belakang rumahnya di Taman Happy Garden, Jalan Payamas, Tangkak, di sini.


Ramlah berkata, dia menyedari keunikan itu ketika sedang menggoreng kuih karipap di luar dapur rumah, pagi Isnin lalu.


“Saya berasa pelik apabila lihat objek seakan roket berwarna merah hati, lalu segera ke arah objek ini. Setelah amati dan terkejut mendapati objek ini merupakan jantung pisang yang tumbuh pada pangkal pokok pisang yang tumbang,” katanya kepada wartawan.


Katanya, biasanya yang tumbuh pada pangkal pokok pisang ialah anak pokok pisang dan bukannya jantung pisang.


Penjual nasi lemak itu berkata, dia sangat terkejut dengan penemuan tersebut serta menganggapnya sebagai pengalaman luar biasa pertama kalinya sepanjang menetap di situ.


“Ahad lalu, saya bersihkan kawasan kebun ini yang terletak kira-kira 15 meter dari rumah, namun tidak sedar dengan kewujudan jantung pisang unik ini.


“Ini adalah jantung pisang rastali yang semakin jarang ditemui pada masa sekarang,” katanya.


Ramlah berkata, dia tidak bercadang untuk memusnahkan jantung pisang itu kerana mahu melihat rupa sebenar pisang berkenaan.


“Saya tidak pasti sama ada akan nikmati buah pisang ini atau tidak kerana takut dengan kejadian pelik tersebut yang mungkin memudaratkan jika dimakan.


“Jantung pisang ini terus jadi perhatian penduduk sekitar kampung yang turut terkejut dengan keunikan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com