expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday, 15 May 2012

Amal piramid pemakanan




DI zaman ini, rata-rata kebanyakan orang menjalani kehidupan yang sentiasa sibuk dan apa yang menjadi mangsa adalah tabiat pemakanan kita. 


Ramai yang memilih untuk makan di luar rumah misalnya di restoran atau lebih mudah, membuat pesanan makanan segera melalui telefon. 


Corak pemakanan seperti ini sememangnya kurang sihat tetapi adakah kita perlu mengorbankan corak pemakanan yang sihat jika ingin memenuhi tuntutan kehidupan moden? 


Adakah kita boleh menyeimbangkan semua perkara termasuk dalam soal pemakanan? 


Bagaimana kita mahu memastikan diet yang sentiasa menyihatkan sedangkan kebanyakan rakyat Malaysia tiada masa untuk makan makanan yang disediakan di rumah? 


Menurut pakar perunding diet, Indra Balaratnam, apa yang boleh dilakukan adalah menggunakan lima kumpulan makanan seperti yang disyorkan dalam Piramid Panduan Pemakanan Malaysia sebagai titik permulaan dalam memilih makanan, tidak kira sama ada menikmati sajian di luar rumah ataupun menyediakannya sendiri. 


“Apa yang penting adalah setiap hidangan perlu mengandungi bahan berasaskan bijirin, sayuran atau protein sayuran, buah-buahan, daging tanpa lemak dan produk tenusu. 


“Anda boleh menggunakan kaedah dengan memenuhkan separuh pinggan dengan sayur-sayuran, suku pinggan dengan protein tanpa lemak dan suku lagi dengan bijirin, buah-buahan dan tenusu untuk diet pemakanan seimbang,” katanya. 


Selain itu, paling penting untuk memilih hidangan yang menggunakan kurang minyak, garam dan gula selain mendapatkan makanan yang bersesuaian dengan waktu makan. 


Awasi setiap hidangan yang diambil kerana lazimnya tabiat masyarakat tempatan gemar memakan snek berkalori tinggi di antara waktu makan. 


Katanya, pengambilan bahan berasaskan bijian sempurna amat penting kerana bahan ini lengkap dan masih mengandungi nutrien penting seperti vitamin E dan vitamin B yang hanya akan hilang jika diproses. 


Contoh bijian sempurna ialah beras ceruh, oat, gandum lengkap, bran gandum dan bran oat. Selain daripada nutrien, bijian sempurna seperti oat mengandungi khasiat tambahan seperti serat terlarut yang membantu merendahkan paras kolesterol dan mengurangkan sembelit. 


Indra berkata, sungguhpun melakukan senaman secara berkala setiap hari, individu itu tetap perlu membentuk tabiat pemakanan sihat sejak awal kerana semakin usia meningkat, sukar untuk menghentikan ‘ketagihan’ terhadap makanan tidak seimbang. 


“Kandungan lemak tepu dan lemak trans yang ada dalam makanan tidak sihat itu boleh menyebabkan arteri tersumbat dan membawa risiko penyakit jantung tanpa mengira berat badan ataupun tahap kecergasan yang dimiliki. 


“Jumlah keseluruhan pengambilan lemak bagi setiap individu tidak seharusnya melebihi 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pengambilan kalori manakala pengambilan lemak tepu pula tidak sepatutnya melebihi 10 peratus daripada jumlah pengambilan lemak dalam makanan,” katanya. 


Tidak dinafikan, apabila umur semakin meningkat dan penyakit kronik menjadi risiko paling nyata, langkah pencegahan menjadi kunci utama dalam pengurusan diet harian. 


Menurutnya, pakar penyelidik dan pakar penjagaan kesihatan percaya tabiat pemakanan seimbang dan penekanan kepada gaya hidup sihat harus dimulakan sejak awal. 


“Ini adalah langkah terbaik dalam mencegah penyakit berkaitan diet pemakanan seperti jantung, kanser atau kencing manis. 


“Saya sendiri mengamalkan kesederhanaan dalam diet harian iaitu hanya makan makanan yang sihat, makan dalam jumlah yang sedikit dan snek juga perlu seimbang bagi memastikan diri sentiasa bertenaga sepanjang hari,” katanya. 


Katanya, dia turut meluangkan masa untuk beriadah bagi mengurangkan tekanan, menguatkan otot, dan mengekalkan BMI badan yang sihat.


Sementara itu, menurut Pengurus Besar Pemasaran Munchy’s, Edward Chen, jenama biskut terkemuka berkenaan sentiasa mengikuti perkembangan tabiat pemakanan pengguna tempatan dan memberikan apa yang dimahukan pelanggan dalam pakej yang lebih mudah.


Contohnya, pengguna tempatan kini sedar mengenai kepentingan memakan bijian sempurna seperti oat, oleh itu Munchy’s memperkenalkan rangkaian Oat Krunch. 


“Kami juga menyahut seruan Kementerian Kesihatan yang menganjurkan supaya menikmati makanan diet seimbang dan kami mengambil inisiatif untuk berkongsi maklumat mengenai makanan dan kehidupan sihat. 


“Snek sihat seperti ini membolehkan masyarakat lebih menjaga pemakanan mereka terutama bagi mereka yang terlalu sibuk dengan kerjaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com