expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 8 May 2012

Basuh tangan elak jangkitan bakteria




KEPENTINGAN mencuci tangan sebelum dan selepas makan selain menjaganya setiap masa supaya sentiasa kering, bersih dan bebas kuman memang tidak dapat disangkal lagi.


Apatah lagi menurut kajian, secara purata tangan manusia mempunyai hampir 150 spesies bakteria, sementara 80 peratus jangkitan pula boleh tersebar melalui tangan yang kotor. 


Tabiat menjaga kebersihan yang mudah iaitu membasuh tangan dengan sabun atau membunuh kuman menggunakan bahan sanitasi tangan dapat mengurangkan jumlah statistik berkenaan. 


Membasuh tangan dengan cara yang betul terbukti dapat mengurangkan risiko cirit-birit sebanyak 20 peratus dan risiko jangkitan saluran pernafasan sebanyak 24 peratus. 


Justeru, rangkaian penjagaan diri antibakteria yang inovatif dan dipercayai, Antabax, meneruskan usahanya untuk meningkatkan kesedaran kesihatan dan kebersihan, dengan melancarkan Pertandingan Melukis Mural Kesihatan dan Kebersihan Kebangsaan Antabax, baru-baru ini. 


Pertandingan itu yang dianjurkan seiring dengan program Doktor Muda Kementerian Kesihatan Malaysia, diadakan pada 27 April lalu untuk menyemai amalan penjagaan kesihatan dan kebersihan yang lebih baik di kalangan rakyat negara ini, bermula di peringkat kanak-kanak. 


Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan memperkenalkan skuad mobil Zoomers iaitu kenderaan khas untuk membolehkan demonstrasi kesihatan, kebersihan serta meningkatkan jangkauan aktiviti interaktif Kelab Doktor Muda, dengan kerjasama penaja utama, Antabax. 


Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata bagi memantapkan Zoomers Kelab Doktor Muda, seramai 46 anggota kesihatan dan pelajaran dilatih sebagai jurucakap utama program itu yang akan diadakan di setiap negeri, bermula di Seremban, Negeri Sembilan dan dijangka berakhir pada 20 Oktober ini di Sabah. 


Beliau berkata, Kelab Doktor Muda berperanan penting untuk memupuk tabiat kesihatan dan kebersihan diri yang baik dari usia muda. 


“Projek melukis mural Antabax akan memberi peringatan setiap hari mengenai tabiat penjagaan kebersihan dan kesihatan kepada murid sekolah apabila mereka berada di sekolah selain ia boleh dikongsi bersama keluarga serta rakan sebaya,” katanya selepas merasmikan program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Wawasan Seremban 2. 


Pengurus Besar (Bahagian Pemasaran Penjagaan Rumah dan Penjagaan Diri) Lam Soon, Francis Ng, berkata semua pihak perlu sentiasa mengekalkan tahap kesihatan dan kebersihan dengan menjadikannya sebagai tabiat bagi memerangi penyakit berjangkit seperti influenza, penyakit tangan, kaki dan mulut serta cirit-birit. 


“Selain membasuh tangan, kami juga mahu kanak-kanak memupuk tabiat menutup hidung apabila bersin, menutup mulut apabila batuk dan tinggal di rumah sekiranya tidak sihat. 


“Program ini juga akan mengajar mereka membasuh tangan secara kerap dan dengan cara yang betul menggunakan sabun dan air. Semua ini digambarkan dalam mural,” katanya. 


Kelab Doktor Muda adalah suatu program kokurikulum yang dianggotai oleh pelajar Tahun Empat, Lima, dan Enam bagi melatih mereka sebagai mentor kepada rakan sebaya dan seterusnya bertindak sebagai pemangkin perubahan kepada pengetahuan, sikap dan amalan positif tabiat penjagaan kesihatan di kalangan pelajar sekolah. 


Pelajar yang menyertai aktiviti kelab dilatih mengenai asas kesihatan untuk membantu mereka mengajar rakan sebaya supaya mereka boleh menjadi contoh dan pendorong kesihatan kepada rakan mereka di sekolah. 


Penyertaan kreatif untuk pertandingan itu turut dialu-alukan, yang akan bermula pada Mei hingga 15 Oktober ini. Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan itu, sekolah yang mempunyai kelab Doktor Muda dan berminat memasuki pertandingan, boleh merujuk www.facebook.com/NewAntabax.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com