expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 23 May 2012

Panduan pilih susu si manja



SUSU tepung untuk membesar dirumus khas untuk memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak. Ia bukan saja mengandungi kandungan protein yang tinggi tetapi turut memberikan nutrien penting. 


Ibu bapa perlu lebih berhati-hati ketika memilih susu tepung membesar untuk si manja mereka kerana terdapat sesetengah pengeluar yang menambahkan gula tambahan seperti sukrosa, pepejal sirap glukosa dan pepejal sirap jagung ke dalam produk berkenaan. 


Disebabkan nama gula tambahan ini kurang dikenali, kebanyakan ibu bapa tidak menyedari terdapatnya gula tambahan dalam susu tepung untuk membesar anak mereka. 


Sungguhpun gula tambahan dalam jumlah yang kecil dapat meningkatkan keenakan rasa susu bagi menggalakkan penggunaan, sesetengah produk ini mungkin mengandungi gula tambahan dalam kuantiti yang tinggi. 


Keadaan ini bukan saja mencairkan nilai pemakanan susu tetapi secara tidak langsung turut meningkatkan pengambilan gula tambahan oleh kanak-kanak tanpa disedari ibu bapa.


Secara global, terdapat peningkatan yang mendadak dalam permasalahan berat badan secara berlebihan ataupun obesiti di kalangan kanak-kanak.

Keadaan ini menyebabkan pengambilan gula tambahan secara berlebihan tanpa disedari adalah perkara yang membimbangkan. 


Terdapat pelbagai faktor menjurus kepada masalah berat badan secara berlebihan, antaranya ialah pengambilan makanan yang tinggi indeks glisemik (Glycemic Index, GI) dan beban glisemik (Glycaemic Load, GL). 


Indeks glisemik (GI) adalah pengukuran kualiti karbohidrat yang berdasarkan kepantasannya untuk meningkatkan paras gula darah. 


Makanan ataupun minuman yang memiliki GI yang tinggi, kandungan karbohidratnya akan cepat dicerna dan diserap mengakibatkan paras gula darah meningkat secara mendadak. 


Sementara itu, beban glisemik (GL) pula adalah lebih berguna kerana pengukuran ini mengambil kira nilai GI dan kuantiti karbohidrat dalam satu hidangan. 


Dalam konteks kajian penyelidikan terhadap susu tepung untuk membesar pula, GL adalah ukuran perubahan tahap gula di dalam darah selepas meminum segelas susu. 


Kandungan GL yang tinggi bermakna susu terbabit mempunyai banyak gula tambahan yang menjadikan paras gula dalam aliran darah meningkat terlalu tinggi dengan cepat. 


Sebaliknya jika kandungan GL rendah bermakna susu terbabit tidak mempunyai banyak gula tambahan dan tahap gula darah dalam imbangan yang sihat. 


Semakin banyak bukti penyelidikan mencadangkan pembebasan tenaga secara perlahan-lahan daripada makanan yang lebih rendah GL menyokong pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang sihat dalam beberapa cara antaranya: 

  •   Apabila dimakan sebagai sebahagian daripada sarapan, makanan yang lebih rendah GL boleh membantu untuk mengekalkan tumpuan dan perhatian sepanjang pagi.
  •   Malah, ia juga boleh membantu kanak-kanak terus memberi tumpuan kepada tugasan dan dikaitkan dengan daya ingatan lebih baik.

Secara kesimpulannya, untuk permulaan yang baik dalam hidup, pemakanan kanak-kanak haruslah mengandungi makanan yang rendah GI dan GL. 


Sebagai langkah permulaan, ibu bapa perlulah lebih bijak dan membaca label produk supaya dapat mengenalpasti kehadiran gula tambahan dalam makanan dan minuman yang diberikan kepada kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com