expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 6 May 2012

SpaceX lancar Dragon ke ISS 19 Mei




WASHINGTON 5 Mei - SpaceX semalam mengumumkan akan melancarkan kapal angkasanya, Dragon ke angkasa lepas untuk membawa kargo ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 19 Mei ini, selepas beberapa kali ditangguhkan.


Jurucakap SpaceX, Kirstin Grantham berkata, SpaceX dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) hampir menyelesaikan proses jaminan perisian dan mereka telah menghantar permohonan kepada Stesen Tentera Udara Cape Canaveral untuk membuat pelancaran pada 19 Mei ini, manakala tarikh 22 Mei sebagai pelan sokongan.


"Setakat ini tidak ada masalah yang timbul tetapi ekoran misi ini sukar, kami perlu berhati-hati dan melakukannya dengan teliti," katanya.


SpaceX menetapkan sasaran untuk menjadi syarikat persendirian pertama menghantar kapal angkasa ke ISS untuk membawa kargo.


Kapal angkasa Dragon itu akan dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida.
Pada awalnya, penghantaran kapal angkasa itu dirancang pada 30 April lalu, tetapi ditunda kepada 7 Mei dan ditangguhkan sekali lagi.


SpaceX yang dimiliki taikun Internet dan pengasas bersama Pay-Pal, Elon Musk mencatat sejarah pada Disember 2010 apabila menjadi syarikat komersial pertama menghantar kapal angkasa ke orbit. - AFP

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com