expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, 14 May 2012

Ketelitian isnad bendung fitnah




Antara keindahan Islam yang menjadi kekuatan ruhnya ialah ketelitian dalam periwayatan khabar. Konsep periwayatan sebegini dinamakan sebagai isnad. Inilah yang menjadikan Islam sebuah agama yang terpelihara akidah, pegangan dan pengamalannya semenjak zaman-berzaman. 


Ketelitian dalam meriwayatkan khabar terus menghiasi diri generasi salafussoleh terdahulu sehingga dapat kita kecapi hasil tuaiannya pada hari ini daripada segala macam kemanisan dan kelazatan benih yang disemai oleh mereka. 


Al-Quran telah menekankan tentang ketelitian, usul periksa dan amanah dalam menyampaikan dan meriwayatkan sesuatu khabar. 


Firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 6 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kalian seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kalian tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kalian (mengenainya) - sehingga menjadikan kalian menyesali apa yang kalian telah lakukan.


Pedoman dan petunjuk daripada al-Quran dan sunnah inilah yang menjadi pegangan salafussoleh serta imam-imam hadis yang telah mengukir nama mereka dalam sejarah emas insan terbilang. 


Mereka terlalu teliti dan mementingkan setiap khabar, ilmu dan pegangan yang disertai dengan sanad-sanad yang diyakini dan muktabar.


Abdullah ibnu Al-Mubarak ra berkata: "Isnad adalah daripada urusan agama dan jikalau tiadanya isnad, semua orang boleh berkata apa yang mereka kehendaki."


Ini bermaksud isnad yang muktabar adalah penentu kepada perjalanan agama yang kita cintai ini. Ia menentukan sahih atau batilnya sesuatu pendapat, yang sekiranya ia dipandang remeh, akan menjadi satu faktor kepada keruntuhan segenap macam perkara yang berkaitan dengan Islam.


Konsep periwayatan atau isnad yang muktabar juga adalah seampuh-ampuh benteng dan sehebat-hebat senjata dalam mempertahankan maruah agama. Melalui pengamalan ini umat Islam semenjak dahulukala mempertahankan asas-asas agama dalam perkara usul dan cabang agama daripada diresapi oleh fahaman-fahaman luar yang menyesatkan.


Senjata Mukmin


Semua ini bertepatan dengan perkataan Al-Imam Sufyan Al-Thauri ra: "Isnad adalah senjata orang Mukmin. Jika tiada baginya senjata, maka dengan apakah mereka hendak berperang?"


Isnad juga memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu khabar itu tidak dicampuradukkan dengan pengaruh luar seperti kata Muhammad ibnu Hatim al Muzoffar: "Sesungguhnya Allah SWT telah memuliakan umat ini dan meninggikan darjatnya dengan isnad. Tidak ada satu umatpun yang terdahulu memiliki isnad, akan tetapi hanyalah suhuf yang ada di tangan mereka yang telah mereka campur adukkan khabar-khabar ke dalam kitab-kitab mereka. Tiada ada bagi mereka tanda yang membezakan apa yang diturunkan kepada Nabi-nabi mereka daripada kitab Taurat dan Injil dengan apa yang mereka masukkan ke dalam kitab-kitab mereka daripada khabar yang diambil daripada golongan yang tidak thiqah."


Periwayatan sesuatu khabar tanpa isnad yang muktabar juga menjerumuskan seseorang ke lembah kehinaan dengan terjebak ke lembah tohmah-mentohmah dan fitnah-memfitnah. Akhirnya, ia mendedahkan hakikat si pelaku fitnah dan mencalarkan kredibiliti nya sebagai pembawa khabar. 


Al-Qadhi Abu Bakar ibn Al-'Arabi berkata di dalam kitabnya Siraj al Muridin: "Allah telah memuliakan umat ini dengan isnad yang tidak dikurniakan kepada umat yang lain. Maka berwaspadalah kalian agar tidak menempuh jalan kaum Yahudi dan Nasrani iaitu dengan meriwayatkan hadis tanpa isnad yang akan menyebabkan kalian memutuskan nikmat Allah daripada diri kalian, menyebabkan diri kalian ditohmah dan kedudukan kalian menjadi rendah. Juga menyebabkan kalian menyertai satu kaum yang dilaknat dan Perbahasan mengenai isnad sebagai benteng daripada terdedah kepada gejala menokok tambah sesuatu perkara baru di dalam agama dan membendung segala macam fitnah memerlukan kepada ruang dan waktu yang banyak." 


Semoga Allah SWT mempermudahkan buat kita semua untuk terus mengupas, mengkaji dan mengambil faedah daripada perbahasan ini.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com