PERNAHKAH anda berasa letih, sakit, terganggu atau lemah
semasa mengandung? Jangan abaikan gejala ini dengan menganggapnya sesuatu yang
'biasa' semasa hamil.
Tahukah anda bahawa seorang dalam setiap tiga wanita,
mengalami masalah ini kerana anemia atau kekurangan zat besi.
Disebabkan masalah kesihatan ini tidak disahkan dan tidak
dirawat, ramai ibu dan bayi mengalami kesan kesihatan dalam jangka panjang.
Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Premitha
Damodaran, zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar
oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.
"Wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang
dan menjaga diri semasa hamil dan selepas melahirkan anak dengan mengawasi
kandungan darah mereka. Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal
(< 12-15mg/dl), wanita menghadapi risiko mengalami jenis anemia yang paling
umum iaitu anemia kekurangan zat besi," ujarnya di bengkel pendidikan
bertajuk 'Kehamilan dan Anemia: Lebih Lazim Daripada Yang Anda Jangka, Panduan
Memastikan Ibu Sihat Sejahtera' anjuran Merck Consumer Healthcare baru-baru
ini.
Beliau menjelaskan kekurangan zat besi dalam badan mungkin disebabkan
diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan
ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.
KeperluanTambah Dr. Premitha, wanita hamil memerlukan zat
besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan
khasiat pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi.
Dianggarkan wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih
banyak zat besi semasa hamil, bertambah daripada 15 kepada 27mg/dl sehari.
"Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa
simpanan zat besi yang secukupnya. Akibatnya, ia berlanjutan walaupun selepas
melahirkan anak," ujarnya.
Wanita yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa
bersalin, melahirkan anak beberapa kali dan ibu yang menyusukan bayi akan
berisiko kekurangan zat besi.
"Anemia semasa hamil dan selepas melahirkan anak sering
dikaitkan dengan tahap kerumitan serius seperti keguguran, kelahiran pramatang,
berat lahir rendah dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia,"
ujarnya.
Pencegahan Dr. Premitha menasihatkan wanita agar mengubah
gaya hidup dan pemakanan.
"Tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan zat
besi seperti ayam, sayur hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan
kering seperti prun dan kismis, tembikai, labu, bijan dan tauhu," katanya.
Dalam kebanyakan kes, doktor akan mengesyorkan pengambilan
pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.
"Golongan berisiko anemia juga boleh mempertimbangkan
pilihan zat besi tambahan dengan salutan perasa untuk melindungi rasa logam,"
katanya.
Bagi meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan kesan
rencatan, ibu-ibu disyorkan agar mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink
tambahan bersama makanan.
Selain itu, pengambilan vitamin C membantu meningkatkan
serapan zat besi manakala teh dan kopi mengurangkan kadar serapan jika diambil
satu atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.
Dalam kes anemia serius dan mengancam nyawa, wanita mungkin
perlu dimasukkan ke hospital, menjalani pemindahan darah dan suntikan zat besi.
"Justeru wanita hendaklah sentiasa memastikan kesihatan
darah mereka dengan melakukan ujian darah apabila merancang untuk hamil, semasa
hamil sert empat hingga enam minggu selepas melahirkan anak.
"Mereka boleh mengekalkan kecergasan masing-masing
dengan mengambil sejumlah zat besi yang secukupnya daripada makanan dan
pemakanan tambahan bagi membantu meningkatkan paras hemoglobin darah.
"Jangan lupa mendapatkan bantuan perubatan serta-merta
jika menghadapi simptom anemia," ujar Dr. Premitha.
No comments:
Post a Comment